Kerajaan hari ini menafikan dakwaan pihak pembangkang yang menuduh Putrajaya menyembunyikan titah tambahan (adendum) diraja berkaitan tahanan rumah untuk Najib Razak.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata dia sendiri tidak menerima sebarang maklumat mengenai dokumen yang dibangkitkan itu.
"Sejujurnya tidak disorok... saya sendiri sebagai menteri komunikasi tidak ada menerima, melihat, ataupun dimaklumkan tentang dokumen tersebut dan saya percaya perkara ini (berlaku begitu) sebab ia melibatkan lembaga pengampunan.
"Kerajaan juga mengambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini dikembalikan semula ke mahkamah tinggi.
"Maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut," katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, seorang peguam kanan persekutuan memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa adendum - yang dikeluarkan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong - tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan 2024.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pula menjelaskan titah yang dikeluarkan Agong ke-16 itu tidak dihantar kepada kementeriannya atau Jabatan Penjara Malaysia untuk dikuatkuasakan.