Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengingatkan sidang jemaah betapa seriusnya isu penderaan termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dikaitkan dengan kumpulan Global Ikhwan and Business Holdings (GISBH).
Khatib berkata, selain jenayah, kumpulan itu juga dikesankan mengamalkan ajaran yang bertentangan dengan akidah Islam di beberapa premis yang dikendalikannya.
“Laporan menyebutkan beberapa kesalahan serius yang disyaki dilakukan oleh GISBH adalah seperti penderaan terhadap pelajar, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat di beberapa rumah amal termasuklah di sekolah-sekolah agama Islam di bawah kendalian pihak GISBH sendiri.
“Kenapa ini berlaku? Apakah tujuan sebenarnya.
“Semua perbuatan jenayah dan kesalahan akidah ini mencemar nama baik dan kesucian agama Islam. Malah boleh tergelincir akidah dan batal shahadah seseorang muslim bila melakukan kesalahan akidah ini.
“Apa yang paling mendukacitakan ialah laporan akhbar ada menyatakan kebanyakan rumah amal di bawah GISBH yang terbabit di dalam siasatan sudah lama beroperasi di beberapa negeri termasuk Selangor,” menurut teks khutbah bertajuk 'Kenapa GISBH buat begini kepada kanak-kanak?' yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Pada 11 Sept, polis melalui Op Global menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja daripada 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.
Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang ada kaitan dengan GISBH.
Selain itu kumpulan itu juga didakwa menghidupkan semula ajaran pertubuhan Al-Arqam yang telah difatwakan sesat pada 1994.
Semalam Jais memperoleh kerjasama penuh daripada pihak polis bagi menyiasat 612 individu yang dikaitkan dengan kumpulan itu dan kesemua mereka disiasat di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Sementara itu khatib turut mengingat orang ramai khususnya umat Islam bahawa anak-anak adalah amanah daripada Allah SWT untuk dijaga kemuliaan dan kebajikan mereka.
Menurut teks khutbah tersebut ibu bapa serta penjaga termasuk rumah amal bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak.
“Malah (mereka) bertanggungjawab mewujudkan kehidupan yang baik serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak sepanjang masa,” kata teks itu.
Mimbar Jumaat turut berpesan keutamaan dalam memelihara dan mendidik anak-anak adalah berkaitan secara langsung dengan tujuan memelihara kemaslahatan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan mereka.
"Kefahaman ajaran Islam ini terhadap maqasid syariah dan hak kanak-kanak hendaklah difahami oleh semua pihak termasuk pihak GISBH.
“Kanak-kanak mempunyai hak untuk dimuliakan secara adil dan baik. Mereka juga mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana yang aman dan selamat serta jauh dari perlakuan jenayah yang jijik seperti pencabulan, liwat, dera, kahwin dan cerai secara paksa, buruh paksa, pemisahan anak-anak dari ibu bapa malahan disuruh mengaku sebagai anak yatim.
"Sekiranya benar siasatan menjurus kepada kesalahan-kesalahan jenayah seperti yang diperkatakan tadi, amatlah tidak wajar," kata teks itu lagi.