Ketika skandal 1MDB belum 'mengorbankan' Umno dan Najib Razak suatu ketika dulu, Khairy Jamaluddin mendakwa dia pernah memberitahu ahli politik terbabit agar mengambil tindakan ke atas Jho Low.
Menyatakan keraguannya terhadap dakwaan bahawa Najib tidak sedar diperdaya oleh ahli perniagaan yang dikehendaki polis itu, Khairy berkata, selepas dinasihatkan pun bekas perdana menteri terbabit enggan berbuat demikian.
Kata bekas ketua Pemuda Umno dan menteri kesihatan itu lagi, dia menemui Najib dan meminta agar Jho Low dibiarkan diambil tindakan jika benar-benar bertanggungjawab menyebabkan kerugian besar dalam skandal 1MDB.
“Itu (nasihat saya) membuka ruang untuk dia mengambil tindakan seperti yang dia dakwa sekarang, bahawa dia telah ditipu.
"(Tetapi) dia memandang saya dan berkata 'Tak, Jho Low adalah ahli perniagaan yang sah'," kata Khairy dalam episod terbaru program audio siar (podcast) Keluar Sekejap semalam.
Najib diarah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membela diri atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.27 bilion milik 1MDB.
Antara lain, hakim Collin Lawrence Sequerah berpendapat, berdasarkan bukti-bukti pendakwaan, Najib jelas mempunyai kepentingan peribadi dan turut memainkan perananan utama sejak awal penubuhan 1MDB.
"Dalam semua keadaan, saya dapati tertuduh juga ‘sengaja membutakan mata’ mengenai kegagalannya untuk menyiasat asal usul dana ini yang mana dalam keadaan sedemikian rupa dia sepatutnya berbuat demikian," kata hakim itu.
Pada 24 Okt lalu Najib membuat permohonan maaf terbuka atas pembabitannnya dalam skandal yang menggemparkan dunia itu, namun pada masa sama mengekalkan pendiriannya bahawa dia tidak bersalah.
Menurut Najib, dia menjadi mangsa kepada penipuan dibuat oleh Jho Low.
Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, bagaimanapun menegaskan permohonan maaf itu dibuat bukan bertujuan untuk mempengaruhi keputusan mahkamah agar memihak kepadanya.
Menurut Khairy perbualannya dengan Najib itu berlaku beberapa ketika selepas Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri kerana lantang mengkritik ahli politik dari Pahang itu.
Penjelasan Khairy itu memberi bayangan bahawa nasihat yang diberikan kepada Najib berlaku ketika skandal 1MDB berada di kemuncaknya.
Susulan pandangan yang berikannya itu, kata Khairy, Najib dengan berang memberitahu agar kabinet jangan lagi akan membincangkan isu 1MDB.
Khairy juga berpendapat tindakan Najib memecat Muhyiddin - ketika itu menjadi Timbalan Presiden Umno - dan Mohd Shafie Apdal (Naib Presiden Umno), serta pegawai tertinggi agensi penguat kuasa adalah "tidak konsisten dengan tingkah laku seseorang yang ditipu".