K’jaan hasrat gandakan penyenaraian syarikat bumiputera

Shopee Sale

Kerajaan berhasrat untuk menggandakan penyenaraian syarikat bumiputera yang berdaya tahan di Bursa Malaysia pada masa hadapan melalui penjajaran semula agensi bermandat bumiputera yang diumumkan hari ini, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Selain itu, katanya, kerajaan juga berharap penjajaran semula ketiga-tiga agensi tersebut iaitu Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) akan dapat menstrukturkan semula ekonomi syarikat bumiputera.

Tiga agensi bermandat bumiputera di bawah kawal seliaan Kementerian Ekonomi itu dijajarkan semula selaras dengan matlamat Kerajaan Madani untuk memperkasa dan melonjakkan penyertaan ekonomi bumiputera secara strategik, mampan dan berkesan. 

“Ini (penjajaran) adalah salah satu daripada langkah-langkah kerajaan untuk menambahkan lagi syarikat yang bermutu dan berdaya tahan untuk pergi sehingga  ke penyenaraian,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera, di sini, hari ini.

Pada Mac tahun ini, Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar dilaporkan sebagai berkata daripada 97 syarikat yang tersenarai dalam tempoh tiga tahun lepas hanya sebuah yang mewakili syarikat bumiputera.

Rafizi berkata masalah yang sering di hadapi syarikat bumiputera adalah dari segi penstrukturan dan menegaskan mereka sebenarnya memerlukan satu ekosistem.

Kerajaan, katanya, sudah mempunyai corong yang dapat membantu mereka daripada awal lagi bagi memastikan tenaga kerja yang ada potensi dapat mencapah pemikiran mereka.

“Anda bermula daripada awal kemudian syarikat itu ada ekosistem dalam Teraju dan sebelum pergi ke penyenaraian, ia ada satu langkah lagi iaitu ke Ekuinas.

“Jadi bila kita memberi fokus kepada syarikat yang berdaya tahan begini kita boleh menggandakan calon syarikat bumiputera yang berdaya tahan untuk disenaraikan,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan akan memberi sokongan tanpa mengambil kira apa juga sektor perniagaan syarikat tersebut.

“Kalau contohnya syarikat bumiputera tersebut tanam sayur tetapi masih boleh berkembang, mereka perlu disokong. Kita mahukan usahawan yang memulakan perniagaan itu membangunkan model perniagaan yang membawa untung dan berdaya tahan, tak kisahlah mana-mana sektor pun.

MENARIK:  PM: Tiada kenaikan gaji untuk penjawat awam malas, ada isu disiplin

“Jadi fokus kita adalah penciptaan nilai, daya tahan dan potensi mereka,” katanya sambil menambah sokongan kewangan yang diberikan kerajaan (melalui agensi tersebut) adalah dalam bentuk kredit dan syarikat terbabit perlu membayar balik semula.

Sementara itu Rafizi berkata menerusi penjajaran semula tersebut ketiga-tiga agensi berkenaan akan memainkan perananan khusus dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera. 

Menurutnya, YP akan menumpukan kepada pembangunan tenaga kerja untuk meningkatkan kelas pencipta nilai bumiputera manakala Teraju bertindak sebagai ‘super-scaler’ dalam memacu pertumbuhan dan memperluas skala syarikat bumiputera ke tahap lebih tinggi dan kompetitif di arena global.

Ekuinas pula akan terus memacu penciptaan kekayaan dan penglibatan ekonomi bumiputera melalui pemilikan ekuiti korporat.

Beliau berkata menjelang 2030, ketiga-tiga agensi terlibat dalam penjajaran semula itu telah diberikan sasaran yang perlu dicapai. 

YP perlu menyediakan 10,000 tenaga kerja bumiputera yang bersedia untuk bersaing dan menjadi pemain industri manakala Teraju pula disasar menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1 bilion menerusi kerjasama dengan sektor swasta serta membangunkan dan meningkatkan keupayaan sebanyak 1,000 syarikat, katanya.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular