KOLUM | GISBH tragedi buat umat Islam di Malaysia

Shopee Sale

KOLUM | Selama lebih kurang sebulan saya mengikuti perkembangan isu berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) Sdn Bhd.

Ia bermula dengan video yang ditularkan oleh Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) hinggalah kepada kenyataan mufti Perlis, Ketua Polis Negara (KPN), hos podcast Caprice yang menampilkan bekas ahli GISBH dan wakil GISBH hinggalah kepada podcast harian Ustaz Syihabudin Ahmad.

Dari platform Syihabudin, saya banyak peroleh maklumat kerana ia datang dari bekas anggota GISBH.

Tentulah lanskap media pada hari ini berbeza daripada apa yang berlaku pada tahun 1986 ketika saya melaporkan penyelewengan Al-Arqam yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Pada masa itu hanya ada media massa berbentuk cetak dan elektronik iaitu akhbar, majalah, radio dan televisyen. Ia adalah satu hala saja, iaitu dari wartawan kepada pembaca dan penonton dengan orang ramai tidak bebas dan cepat untuk berbalas maklumat dan pandangan. Sudah tentu kesan dari media sosial pada masa ini berganda-ganda hasilnya berbanding media massa dahulu.

Pada tahun itu, suatu pagi saya menerima panggilan telefon dari seorang ahli Al-Arqam yang tinggal di perkampungan Al-Arqam di Kampung Sungai Penchala. Saya pergi ke sana dan dia beritahu mengenai penyelewengan akidah pertubuhan itu dan sebahagian ahli-ahlinya akan keluar. Beberapa hari kemudian saya pergi ke kediaman pemimpin kedua tertinggi Al-Arqam, Ustaz Mokhtar Yaakob di Temerloh yang mengumumkan bahawa dia keluar dari pertubuhan itu membawa bersama pengikut-pengikutnya.

Beberapa hari kemudian saya buat pula liputan perhimpunan pengikut-pengikutnya di Taman Greenwood. Ketika itu hanya Utusan Malaysia bersungguh-sungguh membongkar penyelewengan dalam Al-Arqam. Pada tahun 1986, Aurad Muhammadiah difatwakan sesat dan Al-Arqam diharamkan pada tahun 1994.

Seorang cucu Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi, pengasas Tarekat Muhammadiah ada bekerja dengan Utusan. Ustaz Mustafa Suhaimi merupakan editor agama bagi Utusan Malaysia dan Utusan Melayu. Dia juga editor majalah Al-Islam dan Utusan Qiblat yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan. Dia sendiri menolak wirid, fahaman dan tarekat datuknya itu.

Selepas pengharaman Al-Arqam, pengasasnya, Ashaari Muhammad menubuhkan Rufaqa Corporation. Al-Arqam yang asalnya merupakan sebuah yayasan digantikan dengan sebuah syarikat korporat. Tetapi secara khusus untuk perniagaan, Ashaari menubuhkan Global Ikhwan Sendirian Berhad (GISB).

Tetapi Rufaqa ini tetap bergerak sebagai jemaah. Maknanya ia ada ahli dan simpatisan. Jemaah ini pula berbentuk totalitarian. Keseluruhan hidup ahli adalah untuk jemaah dan segala kesetiaan adalah pada ketua.

Selepas Ashaari meninggal dunia, jemaah ini diketuai oleh isterinya, Khadijah Aam. Sebahagian ahli Rufaqa keluar dan menubuhkan Albab Family Trading (AFT). Selepas Khadijah Aam meninggal dunia dan Rufaqa dibubarkan, GISB bertukar kepada GISBH dan jemaah itu diteruskan di bawah kepimpinan Nasiruddin Ali, bekas pemandu Ashaari.

Selepas saya keluar dari Utusan pada penghujung tahun 1986, saya tidak mengikuti perkembangan Al-Arqam. Saya serahkan kesemua bahan-bahan cetak mengenai Al-Arqam termasuk dua kitab kecil Aurad Muhammadiah asal yang diterbitkan di Singapura atau Indonesia kepada perpustakaan Utusan Melayu.

Hanya melalui Utusan Malaysia saya mengetahui bagaimana Al-Arqam diharamkan pada tahun 1994. Pemberita generasi baharu membuat laporan mengenainya. Saya juga menonton pengakuan dan taubat Ashaari di Masjid Negara yang disiarkan melalui televisyen. Saya sangka Al-Arqam sudah berakhir.

Namun, saya dapat tahu bahawa bekas ahli-ahli Al-Arqam berkampung di Country Homes, Rawang. Oleh kerana ketika itu saya tinggal di Seri Gombak, maka saya dapat melihat betapa Klinik Bersalin Al-Arqam di Desa Minang pindah ke situ dengan nama Klinik Al-Ilaaj.

Seorang pemandu ambulan klinik itu menegur saya dan menyatakan bahawa dia adalah rakan sekelas saya semasa sekolah rendah di Sekolah Padang Tembak pada tahun 1969. Dia tentunya sebaya saya dan menyertai Al-Arqam pada awal tahun 1980-an, iaitu pada apa yang disebut sebagai Era Kebangkitan Islam.

Pada tahun 2010 saya terbaca satu posting dalam Internet mengenai perbalahan dalam Rufaqa, iaitu penyokong Khadijah Aam menyelar penentang-penentangnya. Dari situ saya dapat tahu dia menetap di Mekah.

Sekitar tahun 2018, adik saya memberitahu mengenai Ikhwan Cafe. Dialah yang memberitahu mengenai pakaian seragam bekas ahli-ahli Al-Arqam dan mereka bergerak di bawah GISBH. Pada hari raya tahun itu juga, saya berjumpa seorang bapa saudara saya yang pernah menjadi ahli Al-Arqam di Johor.

Saya terkejut apabila dia masih bersama dengan fahaman Al-Arqam dan kawan-kawan lamanya. Dia menolak perubatan konvensional. Maka kemungkinan dia adalah ahli atau sekurang-kurangnya adalah simpatisan GISBH.

Lahir dalam jemaah

Pada tahun 2022, saya pernah bersarapan di Ikhwan Cafe Putrajaya dan melihat betapa ia juga mempunyai Ikhwan Mart. Beberapa bulan lalu pula saya terlihat di Facebook, video majlis pernikahan poligami beramai-ramai ahli-ahli GISBH ini. Maka saya berasakan bahawa pasti ada yang tidak kena dengan pertubuhan itu. Amalan poligami sememangnya diamalkan oleh Al-Arqam. Tetapi apa yang dilakukan oleh GISBH adalah berleluasa, secara sistematik dan menjejaskan kedudukan wanita dalam amalan berkeluarga.

Tetapi apabila membaca pendedahan PUKAS, maka apa yang berlaku dalam GISBH bukan saja lanjutan daripada Al-Arqam tetapi lebih dahsyat lagi. Lebih-lebih lagi pendedahan yang dibuat oleh beberapa bekas anggota GISBH melalui podcast Ustaz Syihabuddin saban malam adalah amat mengejutkan dan lebih buruk lagi daripada Al-Arqam.

MENARIK:  Bekalan insulin manusia mencukupi hingga akhir tahun

GISBH juga beroperasi lebih luas daripada Al-Arqam. Ia ada ladang besar di Australia dan Arab Saudi. Kehadirannya bukan saja di Malaysia dan Indonesia tetapi juga mempunyai kedai-kedai di Mekah, Dubai, Amman, New Cairo dan Manchester.

Ustaz Syihabuddin yang merupakan lulusan Al-Azhar lahir pada tahun 1989. Dia adalah segenerasi dengan anak ketiga saya. Bekas ahli-ahli GISBH yang tampil menceritakan mengenai pengalaman mereka adalah rata-rata merupakan generasi yang sama. Ada yang lahir dalam jenaah. Ada yang dihantar oleh ibu bapa mereka ke rumah amal dan belajar di sekolah GISBH.

Mereka menjadi ahli GISBH bukan kehendak mereka sendiri tetapi kerana ibu bapa mereka adalah ahli atau simpatisan GISBH. Ibu bapa merekalah yang menyertai GISBH dan rata-rata adalah juga anggota Al-Arqam dan Rufaqah. Maknanya mereka adalah generasi saya, suatu generasi yang cenderung kepada gerakan Islam yang muncul pada awal tahun 1980-an.

Dari kisah-kisah yang diceritakan oleh bekas ahli-ahli GISBH, dapat disimpulkan bahawa ia sudah menjadi jemaah tertutup. Kalau Al-Arqam terbentuk daripada penyokong-penyokongnya yang menjadi ahli tetapi Rufaqa, GISB dan GISBH adalah pada keseluruhannya merupakan bekas ahli Al-Arqam, keluarga dan keturunan mereka. Penyokong-penyokong baharu adalah lebih kepada jenis simpatisan atau disebut sebagai ahli separuh masa. Mereka berada di luar tetapi memberi derma dan sumbangan kepada GISBH. Peranan mereka inilah yang menghidupkan dan mengembangkan GISBH di seluruh dunia.

Walaupun sudah banyak ahli Al-Arqam yang meninggalkan Aurad Muhammadiah ekoran pembubarannya tetapi terdapat sebahagiannya tetap setia dengan Ashaari. Mereka inilah yang menyertai Rufaqa, GISB dan GISBH apabila dipanggil semula.

Sebagai jemaah tertutup, GISBH sudah memiliki ahli dari sejak mereka lahir. Anak-anak ahli GISBH yang merupakan generasi kedua Al-Arqam ini diletakkan di rumah-rumah amal yang disediakan. Oleh kerana ahli-ahli lelaki GISBH ini berkahwin sampai empat orang, dan ada masanya bercerai dan berkahwin semula dengan wanita lain, maka anak-anaknya boleh mencapai sehingga 30 orang. Sudah tentu mereka tidak dapat menyara anak-anak seramai ini.

Kejayaan palsu

Setelah sampai umur tertentu, anak-anak ini diletakkan di rumah amal yang juga menempatkan anak-anak yatim. Saraan bagi rumah amal ini datang dari orang ramai yang diyakinkan bahawa rumah amal itu adalah rumah anak yatim.

Anak-anak ini dijaga oleh penjaga dari GISBH, kemudian pergi ke sekolah mereka sampai umur tertentu dan mereka dihantar bekerja di merata-rata tempat kedai GISBH. Mereka dilatih dan kemudian bekerja sepenuh masa, tanpa gaji. Mereka diberikan tempat tinggal, makanan dan keperluan asas. Pada peringkat tertentu mereka mungkin dinaikkan pangkat. Sampai masanya mereka dikahwinkan dalam sistem poligami. Apabila mereka melakukan kesalahan, mereka dihantarkan ke pusat kuarantin.

Seperti perkahwinan, perceraian juga ditentukan jemaah. Maknannya, struktur keluarga sudah digantikan dengan jemaah. Apabila mencapai peringkat bersara, mereka dihantar ke pusat warga tua, salah satu yang diketahui ialah di Topang, Riau.

Jika dibiarkan, GISBH ini membesar tanpa kemasukan orang luar. Jemaah ini beranak pinak walaupun ada sebahagiannya yang keluar.

Untuk apakah kesemuanya ini? Kepercayaan GISBH ini ialah dikatakan mereka mengejar untuk menjadi salah seorang daripada 313 tentera Imam Mahadi yang akan datang muncul tidak lama lagi. Imam Mahadi mengikut kepercayaan mereka ialah Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah. Dia akan dibantu oleh Ashaari yang merupakan Pemuda Bani Tamim. Di belakang beliau inilah, berdirinya 313 pemuda dari GISBH. Mereka mempercayai Syeikh itu, dan Ashaari tidak mati, mereka hanya ghaib.

Apabila mengetahui perkara ini, sesiapapun akan menggeleng kepala. Ia merupakan kisah malang dan sedih. GISB, GISBH, Rufaqa, Al-Arqam adalah suatu tragedi bagi umat Islam Malaysia.

Orang Melayu yang berasa ketinggalan dalam bidang ekonomi di negara sendiri tentu mudah kagum dengan kejayaan palsu perniagaan mereka. GISBH kelihatannya telah capai apa yang syarikat Melayu lain tidak pernah tercapai. Itu yang sedihnya. Ini kerana pencapaian ekonomi mereka adalah palsu

Kalaulah segala dana dan sumbangan simpatisan dan orang ramai yang diberikan pada GISBH dijadikan modal untuk perniagaan yang sebenar, maka barulah satu pencapaian bagi umat Islam negara ini.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular