KOMENTAR | Haji Salleh si pejuang PAS Kelantan

Shopee Sale

KOMENTAR | Ramadan sentiasa mengingatkan saya kepada Haji Salleh. Entah di mana dia berada sekarang. Sudah bertahun-tahun saya mencarinya namun kelibatnya tidak kelihatan.

Saya cuba menghubunginya menerusi nombor telefon yang diberikan oleh Mat Amin (Lua Ah Ming) dan Cina Boyak (lupa nama sebenarnya), namun gagal.

Haji Salleh tidak lagi menggunakan nombor telefon itu. Haji Salleh juga mungkin tidak lagi berada di Tanah Merah kerana perjuangannya bersama PAS sudah suam-suam kuku.  

Dulu saya memanggilnya Cina Tanah Merah kerana kelibatnya kerap ditemui di majlis ceramah PAS di kawasan itu. Nama sebenar Haji Salleh ialah Lim Ah Leh. Dia juga tidak pernah menunaikan ibadat haji.

Dia juga tidak pakai kopiah, apatah lagi bersongkok, berjubah atau menyimpan janggut seperti kebanyakan orang Kelantan.

Lim diberi nama Haji Salleh kerana semangat perjuangan bersama PAS begitu tinggi. Dia bukan sahaja menghadiri majlis ceramah anjuran parti yang kononnya Islam itu, bahkan turut membantu berkempen dalam kalangan Cina Kelantan supaya menyokong Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dia juga rela hati menderma kepada PAS yang dianggapnya sebuah parti miskin. Pada dekad 1980-an sehingga awal 1990-an, aktiviti ceramah PAS akan diiringi edaran 'tin Milo' kepada hadirin bagi tujuan mengutip derma 'jihad'.

Lim tidak terkecuali mengedarkan 'tin Milo' dari satu sudut ke sudut lain terutama masyarakat Cina Kelantan yang terpikat dengan gaya hidup sederhana dibawa pemimpin PAS setempat.

Teman berbuka di kedai kopi

Memang dia tidak pernah pergi haji dan tidak pernah meninggalkan agama Buddha. Dia mendapat gelaran Haji Salleh kerana semangat perjuangan bersama PAS begitu tinggi.

Kawan-kawan selalu berpesan supaya jangan merendahkan Nik Aziz jika tidak mahu putus hubungan dengan Haji Salleh kerana dia pejuang tulen.

Bukanlah rahsia bahawa kebanyakan Cina di luar bandar Kelantan adalah penyokong PAS. Mereka kata PAS bagus kerana tidak kacau Cina yang menjadi golongan minoriti.

Saya menghormati Haji Salleh kerana semangatnya yang luar biasa.

Isu Memali dan Ibrahim Libya cair di lidahnya. Isu Lubuk Merbau begitu fasih keluar dari mulutnya walaupun dia tidak berada di tempat kejadian.

Bukan semua yang diperjuangkan oleh Haji Salleh disenangi. Saya hanya mengambil jalan tengah untuk kekal bersahabat kerana dia adalah teman bukan Melayu yang paling banyak menemani saya berbuka puasa di kedai kopi.

Jika saya ke masjid, dia menemani sehingga pintu masjid dan rela hati menunggu dalam gelap malam sehingga saya selesai tarawih.

Persahabatan tidak mengenal bahasa, bangsa dan agama kerana persahabatan tiada tarikh luput. Ada ketika - kerana keakraban kami - saya terlupa yang Haji Salleh bukan Islam. Tambahan pula dia fasih kecek Klate dan  kerap menemani saya ke majlis baca puisi.

Saya mempunyai ramai kenalan sasterawan Kelantan bukan Melayu yang menjadi teman acara seni. Lim Swee Tin, Pui Tiong Gee (Awang Abdullah), Lee Cheong Beng (Mohd Azli Lee Abdullah), Lee Kiok Chih, Suwanlerd Propoul adalah rakan yang menyenangkan.

Sebelum berhijrah ke tempat lain, mereka menggerakkan Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Persatuan Penulis Tumpat (Pesisir).

Haji Salleh bukan sasterawan. Haji Salleh pejuang PAS yang rapat bercerita tentang Cina Kelantan dan hubungan mereka dengan PAS. Kaum Cina hanya empat peratus daripada dua juta penduduk Kelantan.

Sebahagian besar daripada mereka tinggal di kampung Cina dan menerima pakai budaya Melayu sebagai resam kehidupan.

Mereka makan menggunakan tangan, memilih nasi berlauk dan nasi kerabu sebagai menu harian. Budu, petai, jering dan ikan jeruk adalah pembuka selera.

Beza asimilasi, integrasi

Masyarakat tempatan  memanggil mereka "Cina kampung" kerana tinggal di desa dan pekat loghat Kelantannya. Di bandar besar seperti Kota Bharu dan Pasir Putih pula digelar "Cina bandar".

Ada antara mereka datang dari luar Kelantan - terutama Kuala Lumpur dan Ipoh - untuk membuka cawangan perniagaan. Mereka tidak fasih kecek Klate. Cara membezakan Cina kampung dan Cina bandar ialah bahasa dan perwatakan.

Cina kampung - seperti Haji Salleh - tebal kemelayuannya.

Ketika berada di Kelantan pada minggu lalu saya cuba mengesan Haji Salleh berkali-kali tapi masih gagal. Dengar khabar semangat juang Haji Salleh bersama PAS semakin kendur kerana dia kian sibuk dengan pelaburan saham.

MENARIK:  Menteri perpaduan: Kajian semula hala tuju Mitra untuk lebih fokus

Dia tidak lagi memandu Datsun sebaliknya dikhabarkan sudah membeli  Mercedes terpakai. Pada usia akhir 60-an tentunya semangat dan idealisme Haji Salleh berubah walaupun perwatakan sebagai Cina Kelantan masih utuh.  

 Cina Kelantan berbeza berbanding Cina kawasan lain.

Walaupun nama mereka Cina, jika bunyi sebutannya mirip nama Melayu, mereka lebih selesa dipanggil dengan nama Melayu.  

Kawan saya yang menjadi ejen insurans bernama Chua Ah Lee meletakkan nama Ali pada kad perniagaannya kerana sejak kecil lagi dia dikenali sebagai Ali, bukannya Ah Lee.

Gambar hiasan

Di Kuala Lumpur kita menemui nama Vincent Lam, David Teoh atau Roger Ang yang berciri Barat, namun di Kelantan mereka lebih selesa dengan nama Melayu.

Misalnya Ah San akan dipanggil Hassan atau Hock Seng sebagai Hussin. Amat menarik jika ahli sosiologi membuat kajian tentang sejarah Cina Kelantan secara ilmiah.

Dalam konteks perpaduan nasional, perlu dibezakan di antara asimilasi dan integrasi kerana kedua-duanya mempunyai kesan berbeza. Haji Salleh adalah citra Cina Kelantan yang menjadikan dirinya Melayu untuk berkongsi nasib di sebuah negeri paling miskin di Semenanjung Malaysia.  

Haji Salleh - seperti juga beberapa teman lain - berkhatan sejak sekolah rendah kerana terikut dengan budak Melayu ke acara ‘bersunat’ yang dianjurkan penduduk kampung.

Hal itu mengingatkan saya kepada seorang sasterawan yang bersunat sejak kecil dan akhirnya mencintai gadis Melayu ketika dia belajar di sebuah universiti.

Bawa juadah ke masjid

Dia ke bilik profesor yang juga berasal dari Kelantan untuk berkongsi masalah peribadi.

“Kau kena masuk Islam dan potong anu tu sikit.”

Dengan senyum sinis sasterawan itu membuka zip seluar dan menunjukkan dia sudah bersunat sejak kecil kerana mengikut resam Melayu. Dia juga memberitahu ayah dan saudara-mara lelakinya bukan saja bersunat malah berpuasa bersama penduduk kampung.

Saya kembali teringat kepada Haji Salleh. Saya tidak pasti adakah dia masih seperti dahulu atau sudah berubah resamnya.

Sewaktu di Kelantan tular kisah Cina tauke tayar dan pekerjanya membawa juadah berbuka puasa ke sebuah masjid di Kampung Padang Kala. Dia masuk ruang solat untuk mengagihkan nasi, kuih dan air.  

Tiada isu politik pun apabila orang bukan Islam masuk ke ruang solat di Kelantan berbanding polemik yang hangat di Lembah Klang beberapa tahun lalu apabila bukan Islam masuk masjid kerana urusan rasmi.

Pada 23 Mac lalu tular video pasangan Cina membawa juadah berbuka puasa ke sebuah masjid di Kota Bharu. Ramai Melayu yang bergambar dengan Cina itu yang sekadar berseluar pendek dan berdiri di luar pagar masjid.

Saya tidak sempat hadir majlis berbuka puasa kerana perlu bergegas ke lapangan terbang untuk kembali ke Lembah Klang.

Perihal Haji Salleh pejuang PAS dan kisah Cina Kelantan yang menjadi Melayu mengingatkan saya kepada Cina di Indonesia dan Thailand yang secara sukarela menjadi pribumi.

Jika tidak dipolitikkan dunia akan menjadi aman kerana kita anak semua bangsa yang memijak bumi yang sama dan menjunjung langit yang sama.

Sehingga kini saya masih mencari Haji Salleh. Saya tidak kisah dia PAS atau DAP kerana nilai persahabatan tidak terikat dengan normal siasah. Kenangan Ramadan dulu cukup melekat di hati kerana Haji Salleh berkain pelikat ke pintu pagar masjid.

Walaupun dia tidak solat, sekurang-kurangnya dia melihat kami bersolat.


IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan sejak 1980-an.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular