KOMENTAR | 'Politik kotor' – Adakah Takiyuddin liabiliti PAS?

Shopee Sale

KOMENTAR | Jawatan setiausaha agung cukup penting dan adalah gambaran kepada dasar dan perjuangan parti. Seseorang yang bolehlah dianggap senantiasa berusaha menjaga reputasi dan nama baik parti dengan watak yang sinonimdengan idealisme yang dibawa.

Jika partinya parti Islam, pasti sikap dan penonjolan yang dibawa memberi gambaran positif kepada Islam yang ditempelkan pada partinya. Islam agama kedamaian, maka perlu sentiasa menjadi pihak yang mendamaikan. Bukan sebaliknya.

Islam agama yang menjunjung keadilan, maka berlakulah adil kerana ia pasti lebih dekat dengan ketaqwaan. Satu perkataan yang diulang-ulang dan basah di lidah dalam menghayati Ramadhan dan baru sebulan ditinggalkan.

Kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang terus mengheret isu lapuk berkaitan salah laku yang rata-rata dianggap umum konspirasi politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya menggambarkan dendam yang terbuku dan kegelapan hati pihak yang masih bergantung kepada perkara sedemikian dalam meraih laba politik.

Nasihat saya, berpolitiklah secara matang, bukan membuat serangan peribadi dengan cara sejelek itu.

Pastinya ini juga dilihat penerusan kepada tindakan untuk terus-menerus berkonfrontasi serta menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Melayu.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong yang memberi pengampunan penuh kepada Anwar adalah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke V, beliau tiada rasa hormat dan mempertikaikan proses pengampunan itu, termasuk dalam satu ucapan di Sandakan pada 14 Mei 2019.

Siri penderhakaan beliau kepada Raja-Raja Melayu bukanlah satu senarai yang pendek. Selaku ketua Pemuda PAS Kelantan dan ahli exco kerajaan negeri, beliau pernah ditarik pingat oleh Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra, pada 9 Januari 2001. Itulah petanda kemurkaan Raja Melayu kepada beliau.

Walaupun dengan sejarah begini, Takiyuddin dengan kepandaiannya terus menaiki tampuk kuasa sehingga menjadi setiausaha agung PAS serta dilantik menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan undang-Undang) waktu Perikatan Nasional (PN) memerintah.

Waktu menjadi menteri inilah penderhakaan Takiyuddin mencapai kemuncaknya bila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 29 Julai 2021 menzahirkan kemurkaan baginda berhubung tindakan tidak tepat dan mengelirukan beliau yang mengumumkan di parlimen pada 26 Julai 2021 pembatalan Ordinan Darurat tanpa membentangkannya di parlimen sedangkan pada 24 Julai 2021 baginda menitahkan supaya ia dibentang dan dibahaskan di Parlimen dahulu sebelum mendapat perkenan baginda.

Baginda berpendapat tindakan Takiyuddin ini telah membelakangi fungsi dan kuasa baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga mendorong ahli-ahli parlimen Umno segera melaksanakan keputusan untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sehingga menyebabkan kejatuhan Kerajaan PN.

Alasan Umno amat kukuh, tindakan Takiyuddin ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong serta bercanggah dengan sumpah jawatan selaku ahli parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Baginda selain bercanggah dengan asas dan matlamat penubuhan Umno untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu.

Di sebalik kesilapan besar Takiyuddin yang menyebabkan hubungan PAS dengan Yang di-Pertuan Agong menjadi renggang manakala PAS terlucut dari tampuk kuasa, entah bagaimana beliau masih dikekalkan sebagai setiausaha agung PAS yang pastinya merupakan kerusi panas yang menjadi suluhan pelbagai pihak.

Beliau tidaklah dilihat ‘perform’ dalam menjalankan tugasnya. Bahkan kerap didengar campur tangan dan cubaan menggunakan kuasanya dalam pentadbiran parti termasuk kerajaan negeri.

Kekalutan yang terhasil akibat campur tangan ini termasuk percaturan dalam meletakkan calon di Kelantan khususnya adalah rahsia umum di kalangan ahli PAS.

Kenyataan beliau beberapa hari lepas yang cuba menghangatkan isu lama sudah berdepan dengan beberapa laporan polis termasuk Angkatan Muda Keadilan (Pemuda PKR) Perak.

MENARIK:  Kelantan dapat kebenaran istimewa terima bas pelancong Thai

Pada saya sangat elok untuk beliau hadam buku tulisan presiden parti beliau Tan Sri Abdul Hadi Awang berjudul ‘Qazaf: Mangsa Fitnah’ dan berhenti meneruskan politik kotor yang hanya menghodohkan wajah perjuangan.

Kenyataan berkaitan iaitu bersumberkan portal berita Agenzia Nova yang tiada autoriti ini pernah dibangkitkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin di parlimen hujung tahun lepas dan sudah dijawab. Takiyuddin tidak seharusnya mengulangi politik murahan ini.

Saya telah menonton rakaman ucapan Takiyuddin pada 7 Mei lalu. Ucapan ini tidak selayaknya keluar dari mulut seorang setiausaha agung PAS.

Ia ucapan berkualiti rendah yang boleh disampaikan oleh seorang pemimpin PAS cawangan kerana apa yang dibuatnya ialah sekadar membaca dan mengulas keratan-keratan akhbar sahaja.

Lebih teruk dari itu, ucapan beliau juga mengandungi banyak kekarutan mengelirukan yang bertujuan menanamkan kebencian pengundi kepada kerajaan sahaja.

Contohnya ialah bila beliau berkata, “gerenti, jamin, harga minyak diesel harga minyak petrol akan naik, kesan daripada penarikan subsidi dan juga kenaikan harga bahan api, ianya akan menjejaskan seluruh rantaian ekonomi."

Cara beliau bercakap seolah-olah semua orang akan menerima kenaikan harga bahan api ini.

Politik murahan Takiyuddin

Beliau gagal menjelaskan bahawa cadangan kerajaan adalah untuk menarik subsidi bahan api dari segmen rakyat tertentu sahaja, bukan golongan biasa dan wang dari penjimatan ini akan dikembalikan kepada golongan memerlukan dalam bentuk bantuan.

Malah subsidi bersasar membabitkan kenaikan harga bahan api ini pernah dicadangkan sendiri oleh Muhyiddin selaku pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan pengerusi PN sendiri pada 30 Julai 2022.

Beliau berkata, MPN mahukan Skim Subsidi Bersasar dilaksanakan dengan contoh subsidi minyak hanya akan diberikan kepada kenderaan yang didaftar dalam kategori B40 sahaja manakala golongan bukan dalam kumpulan B40 dikenakan harga pasaran atau hapuskan subsidi. Tetapi Takiyuddin tidak ikhlas dan hanya mahu memainkan sentimen rakyat sahaja.

Begitu juga dengan isu kenaikan gaji penjawat awam yang disebut “hanya 13 peratus” sedangkan Anwar menyebut dalam Sambutan Hari Pekerja pada siang 1 Mei lalu ia adalah lebih tinggi daripada 13 peratus.

Dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan pada malamnya pula Anwar menyebut kenaikan gaji ini mungkin mencecah 25 hingga 30 peratus.

Tetapi itulah politik murahan Takiyuddin. Kalau dengan Yang di-Pertuan Agong pun beliau tergamak menipu maka apalah sangat untuk menipu rakyat bawahan.

Kita yakin politik murahan Takiyuddin ini dan berbagai-bagai kenyataan dan tindakan lain beliau sebelum ini hanya menjadikan beliau satu ‘baggage’ besar kepada perjuangan PAS khasnya dan PN umumnya.


DR ROSLI ALLANI ABDUL KADIR ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular