Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menuntut pembangkang meminta maaf kerana menuduh menterinya Nga Kor Ming tidak menjawab isu-isu rakyat yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan hari ini, KPKT berkata, dakwaan yang dilemparkan pembangkang itu mengelirukan rakyat selain tidak tepat, tidak berasas dan berniat jahat.
“Pelbagai pencapaian KPKT yang dimasukkan dalam pernyataan awal adalah rangkuman jawapan secara menyeluruh kepada isu-isu yang dibangkitkan.
“Ia mencerminkan tindakan yang diambil oleh KPKT dalam menyelesaikan isu-isu rakyat dan turut menjawab pelbagai persoalan ahli-ahli parlimen secara tidak langsung,” menurut kenyataan itu.
KPKT berkata jawapan secara bertulis adalah lebih fokus dan terperinci untuk menjawab isu-isu tempatan yang dibangkitkan oleh seseorang ahli parlimen.
Menurut kenyataan itu lagi, KPKT sentiasa komited dan berdedikasi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan kesejahteraan mereka.
Ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) bagi KPKT di Dewan Rakyat semalam, Nga memaklumkan isu yang dibangkitkan akan dijawab secara bertulis kerana bidang kuasa KPKT meluas, namun masa yang diberi pada sesi itu hanya 25 minit.
Susulan itu, dalam sidang media kemudiannya beberapa ahli parlimen pembangkang menyuarakan rasa tidak puas hati dan mendakwa Nga tidak menjawab soalan yang dibangkitkan mereka dan memberi penerangan yang tidak berkaitan.