Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy membidas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang didakwa menggunakan stereotaip perkauman susulan debat mengenai isu sekolah vernakular.
Ramasamy berkata, dia menjangkakan Akmal akan menjawab secara rasional dan matang hujah yang dikemukakannya mengenai kewujudan sekolah berkenaan, namun sebaliknya berlaku.
"Tidak menghairankan, dia menjawab dengan mengatakan bahawa saya mungkin ‘mabuk’ atau ‘keliru’ tentang pembelaan saya terhadap sekolah vernakular.
"Dia cuba menjaja stereotaip dan klise perkauman yang biasa bahawa sebagai seorang berketurunan India, saya mungkin cenderung terhadap arak," kata Ramasamy.
Malam tadi Akmal membidas Ramasamy dengan mengatakan ahli politik sepertinya adalah punca perpaduan kaum tidak dapat disuburkan di negara ini.
"Kamu mabuk ke apa," tulis Akmal dalam hantaran di Facebook.
Ungkapan 'mabuk ke?' biasa digunakan orang Melayu untuk merujuk seseorang yang melakukan hal yang tidak masuk akal atau keliru.
Bagaimanapun, ungkapan yang sama juga boleh merupakan stereotaip perkauman yang biasa digunakan terhadap orang India.
Ramasamy berkata Akmal membuat kenyataan dangkal dan bersifat perkauman mengenai sekolah vernakular.
Malah katanya, Akmal juga dilihat tidak mampu untuk berbincang secara normal berhubung gesaannya agar kerajaan melakukan penilaian menyeluruh mengenai sistem pendidikan sekolah berkenaan.
“Akmal menggelarkan dirinya sebagai ketua pemuda Umno, tetapi alangkah malangnya bagi ahli-ahli pemuda Umno apabila mempunyai pemimpin yang cuba mengelirukan mereka dalam satu subjek penting seperti kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
"Saya cabar dia supaya sekolah vernakular ditutup. Saya ingin tahu bagaimana rakan-rakannya dari DAP akan menyahut cabaran ini," kata Ramasamy yang meninggalkan DAP tahun lepas.
Dalam pada itu Ramasamy sekali lagi menegaskan bahawa kewujudan sekolah vernakular didorong oleh diskriminasi terhadap bukan Melayu yang diamalkan ketika Umno-BN berkuasa.
"Pemimpin Umno yang keliru dan salah maklumat seperti Akmal tidak memahami sejarah, mungkin versi hegemoni sejarah Melayu yang terpesong.
“Sekadar menyatakan, parti berdaftar, United for the Rights of Malaysian Party (Urimai) tidak ditakrifkan mengikut perkauman atau etnik.
"Berbeza dengan Umno, keahlian (Urimai) terbuka kepada semua kaum, khususnya yang kurang bernasib baik dan terpinggir," kata Ramasamy.