Naib Pengerusi DAP Teresa Kok hari ini menyoal kerajaan negeri Terengganu berhubung keputusan agensinya melarang penyanyi wanita membuat persembahan pada acara keagamaan yang dianjurkan sebuah tokong.
Ini susulan laporan berita yang mendakwa Majlis Perbandaran Kuala Terengganu telah mengarahkan Tokong Guan Di untuk menghentikan sebarang persembahan penyanyi wanita semasa majlis sambutan yang diadakan antara 29 Julai dan 2 Ogos.
"Saya minta Kerajaan Negeri Terengganu membuat kenyataan apakah larangan terhadap penyanyi wanita ini adalah dasar baru di bawah negeri tersebut, dan apakah Kerajaan Negeri Terengganu telah meluaskan skop larangan penganjuran program hiburan ke atas masyarakat bukan Islam, dan malah terhadap kuil Taoist dan Buddhist.
"Beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan PAS Terengganu telah memperkenalkan siri dasar dan undang-undang negeri yang berunsur agama, termasuk memperketatkan dasar pengasingan di antara lelaki dan wanita di stadium baru-baru ini.
"Tetapi peraturan yang berdasarkan agama Islam ini tidak harus dilaksanakan terhadap masyarakat bukan Islam, khususnya dalam persembahan perayaan kuil Taoist dan Buddhist," kata Teresa pada satu kenyataan hari ini.
Awal hari ini, China Press melaporkan dakwaan kuil itu telah menerima arahan bertulis daripada kerajaan tempatan, melarang penyanyi wanita membuat persembahan pentas.
Majlis Perbandaran Kuala Terengganu didakwa menambah peruntukan baru dalam permitnya untuk persembahan hiburan bagi melarang penyanyi wanita.