Lelaki didenda RM100 letak pelekat bendera Israel di restoran

Shopee Sale

Seorang pekerja sambilan di sebuah syarikat sewa kereta didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di Kajang hari ini selepas mengaku bersalah meletakkan pelekat bendera Israel di sebuah restoran makanan segera, minggu lepas.

Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz turut memerintahkan Tariq Hazim Mohd Yusri, 25, menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nurul Hafzan bertanyakan sebab tertuduh melakukan perbuatan tersebut dan Tariq Hazim menjawab: “Saya tampal bendera Israel di kedai makanan segera itu sebab saya marah selepas ada juga keluarga saya meninggal dunia di Palestin”.

Bagaimanapun Nurul Hafzan berkata perbuatan itu tidak mengubah keadaan menjadi lebih baik.

Mengikut pertuduhan, Tariq Hazim didakwa melakukan perbuatan itu yang menyebabkan keamanan mungkin terganggu di restoran berkenaan di Batu 10, Jalan Hulu Langat di Kajang pada 4.42 petang, 29 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Mengikut fakta kes, seorang wanita yang sedang bekerja di restoran makanan segera di sebuah stesen minyak di Hulu Langat menyedari terdapat pelekat Israel ditampal pada lantai, koridor luar dan pintu masuk hadapan premis berkenaan kira-kira 7 petang pada 29 Mei lalu.

Wanita itu memaklumkan perkara berkenaan kepada pengurusnya dan hasil pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh melakukan perbuatan itu sebelum dilihat beredar dengan menaiki sebuah kereta.

MENARIK:  Peniaga warung terlepas hukuman mati, dipenjara 35 tahun

Semasa rayuan untuk meringankan hukuman, peguam Nabilla Rosli daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon Tariq Hazim dikenakan hukuman denda minimum kerana lelaki itu yang bekerja sambilan hanya berpendapatan RM2,500 sebulan.

“Tertuduh perlu menanggung isteri yang tidak bekerja sementara ibunya mempunyai penyakit gout dan bapa pula menghidap penyakit jantung selain menanggung ibu mentuanya yang merupakan ibu tunggal. Tertuduh juga menyesal atas kesilapannya itu dan memohon maaf kepada semua pihak,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular