Polis menyiasat anggota lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi yang didakwa menggunakan gelaran "Datuk Seri" palsu yang dikaitkan dengan istana Pahang.
Ia susulan satu laporan polis dibuat di Pahang pada 26 Jul lalu mendakwa individu berkenaan “belum” menerima sebarang anugerah dari istana Pahang yang membawa gelaran itu.
Berdasarkan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, semakan telah dibuat dengan unit Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara itu.
"Saya telah membuat semakan awal dengan unit Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang penama masih belum dikalungkan secara sah darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).
"Justeru penama telah salah menggunakan gelaran tersebut sebagai mana Seksyen 6 Undang-undang Negeri Pahang pengisytiharan gelaran, pangkat kemuliaan,pangkat kebesaran dan kurniaan negeri pahang 2019," kata wakil istana dalam laporan polis berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan pihak polis telah menerima laporan berhubung perkara itu.
Bagaimanapun dia tidak boleh memberi komen lanjut memandang ia sedang dalam siasatan polis Pahang.
"Saya mengesahkan bahawa JSJK Pahang (Kuantan) telah menerima laporan dan perkara ini dalam siasatan," katanya kepada Malaysiakini.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada individu berkenaan.