Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menyokong usaha kerajaan memperkenalkan syarat pelesenan media sosial dan perkhidmatan pesanan berasaskan Internet.
“Lesen ini adalah untuk memastikan kesejahteraan kerana di negara yang berbilang kaum perlu peraturan yang jelas terutamanya perkara yang melibatkan 3R (agama, kaum dan raja).
“Kalau kita tidak kawal perkara itu, maka dengan mudah kita terjebak bermain dengan emosi,” kata Timbalan Presiden Pena, Mohd Khair Ngadiron.
Sabtu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi.
Langkah itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan tahun depan, bertujuan menangani jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Selain itu, bekas pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu menafikan pengenalan lesen itu memudahkan kerajaan menyalurkan propagandanya.
“Zaman ini zaman media sosial yang propaganda dibuat oleh semua pihak.
“Kita selalu dimomokkan jika (ada) propaganda kerajaan, (tetapi) propaganda bukan kerajaan kita tak pernah persoalkan,” katanya.
Dia juga berkata masyarakat tidak perlu takut jika media sosial dikawal selia jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.
Aktivis dan kumpulan hak asasi manusia menolak langkah itu atas alasan ia terbuka kepada penyalahgunaan pihak berkuasa, seperti undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagaimanapun menjamin kebebasan bersuara tetap akan terus wujud.