Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam membayangkan kemungkinan tindakan undang-undang terhadap individu yang dituduh memfitnahnya di media sosial.
Secara khusus, Lokman merujuk kepada kenyataan palsu yang dikaitkan dengan Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi dan menamakan Lokman sebagai salah seorang daripada empat individu yang didakwa dilarang berkempen dalam pilihan raya kecil Nenggiri akan datang.
“Saya sedang mencari nama, nombor kad pengenalan, alamat penuh dan nombor telefon orang yang berkongsi fitnah ini supaya saya boleh saman (mereka).
"Semua yang terlibat dalam mengedar bahan fitnah ini, saya akan pertimbangkan untuk saman. Saya sedang menyemak latar belakang mereka satu persatu," kata Lokman kepada Malaysiakini.
Awal hari ini, seorang kakitangan dari ibu pejabat Umno berkongsi kenyataan yang didakwa dikeluarkan Zahid, yang juga presiden Umno.
Kenyataan itu, yang turut menamakan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan dua yang lain, ditanda "PALSU".
Antara yang berkongsi kenyataan itu termasuk blogger Salim Iskandar di laman X.
Seorang pembantu kepada Rafizi, Farhan Iqbal, menegur Salim, dan menasihatkannya untuk membuat semakan fakta.
Antara lain, kenyataan itu mendakwa Zahid berkata empat individu itu telah dilarang berkempen untuk calon Umno kerana mereka telah mencetuskan reaksi negatif orang ramai yang menyumbang kepada kekalahan BN-Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Sungai Bakap baru-baru ini.