Mahkamah tolak permohonan waran tangkap terhadap saksi kes Guan Eng

Shopee Sale

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menolak permohonan pembelaan agar waran tangkap dikeluarkan terhadap seorang saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana tidak mengemukakan sijil cuti sakit pada prosiding hari ini.

Hakim Azura Alwi berkata Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, hanya tidak mengemukakan sijil itu hari ini kerana sebelum ini, beliau akan berbuat demikian jika tidak sihat.

“Saya tidak bercadang untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau. Saya faham perjalanan dan persiapan yang dibuat pihak peguam dan tertuduh. Bagaimanapun, saya rasa sebelum ini (jika) saksi berkenaan tidak sihat, beliau akan maklum kepada mahkamah, cuma hari ini sahaja,” katanya.

Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding hari ini dan mengarahkan Zarul Ahmad mengemukakan sijil cuti sakit pada 7 Jun ini.

Terdahulu, peguam RSN Rayer yang mewakili Lim memohon supaya mahkamah memberi teguran kepada saksi itu dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana tidak mengemukakan sijil cuti sakit.

“Kita tahu tentang keadaan kesihatan beliau malah sepanjang perjalanan kes juga, kadangkala saya minta beliau berehat tetapi hari ini telah ditetapkan untuk prosiding mencabar kredibiliti dan sijil cuti sakit tidak dikemukakan. Oleh itu, waran tangkap boleh dikeluarkan terhadap beliau,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pula berkata beliau dimaklumkan pada 10.15 pagi oleh pegawai penyiasat bahawa saksi itu mengalami vertigo dan tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.

Pada 4 Mac lepas, Azura membenarkan permohonan Lim untuk memulakan prosiding mencabar kredibilti Zarul Ahmad setelah mendapati wujud percanggahan dalam kenyataan saksi itu kepada SPRM dengan kenyataan beliau di Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

MENARIK:  Selamat jahanamkan negara wahai katak politik, kata Pemuda Umno

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular