Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam Brics sebagai negara rakan kongsi, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan global.
Menurut kemas kini dari @BricsInfo di X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu ke dalam perikatan sebagai negara rakan kongsi, walaupun belum sebagai ahli penuh.
Selain Malaysia, 12 negara lain yang turut disertakan ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
Untuk rekod, pada 28 Julai, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan bahawa Malaysia telah menyerahkan permohonan kepada Rusia untuk menyertai organisasi antara kerajaan Brics.
Russia kini mempengerusikan blok berkenaan, yang turut dianggotai oleh Brazil, India, China dan Afrika Selatan.
Pada 18 Jun, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai Brics semasa perbincangan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Brics, yang pada asalnya dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, dan China, telah ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang membangun, dengan Afrika Selatan menyertai pada tahun 2010.
Blok ini sejak itu telah berkembang untuk merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.
Brics mewakili kira-kira 40 peratus populasi global dan menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) terkumpul sebanyak AS$26.6 trilion, atau 26.2 peratus daripada KDNK dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7). (AS$1 = RM4.34).
G7 ialah kumpulan tidak rasmi yang terdiri daripada tujuh ekonomi maju dunia, termasuk Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat, serta Kesatuan Eropah.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dijadualkan menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Brics Outreach/Brics Plus di Kazan, Russia, pada 24 Oktober 2024.