Malaysia tegaskan komitmen tangani isu eksploitasi pekerja asing pada PBB

Shopee Sale

Duta Besar dan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Nadzirah Osman, dalam maklum balas kepada PBB berhubung pertanyaan mengenai dakwaan eksploitasi pekerja Bangladesh di negara itu, berkata kerajaan Malaysia komited untuk menegakkan hak perkerja warga asing.

Dalam dokumen 12 muka surat yang boleh diakses dalam talian, dia berkata Jabatan Tenaga Kerja telah menyelamatkan dan menempatkan semula pekerja asing yang dieksploitasi, dengan 1,664 pekerja asing dipindahkan ke majikan baru pada 2023 dan begitu juga dengan 910 pekerja asing setakat April tahun ini.

“Kerajaan Malaysia mengambil maklum laporan Prosedur Khas Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dakwaan eksploitasi yang semakin melarat, dan jenayah terhadap pekerja asing dari Bangladesh bertarikh 17 April 2024.

“Kerajaan memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes eksploitasi pekerja asing yang membawa kepada buruh paksa dan pemerdagangan manusia,” katanya.

Pertanyaan itu dibangkitkan oleh Tomoya Obokata, pelapor khas PBB mengenai bentuk perhambaan kontemporari, termasuk sebab dan akibatnya, Robert McCorquodale (pelapor pengerusi), Gehad Madi (pelapor khas mengenai hak asasi warga asing), dan Siobhán Mullally (pelapor khas mengenai pemerdagangan orang, terutamanya wanita dan kanak-kanak).

Surat itu menyatakan bahawa warga asing Bangladesh telah tiba di Malaysia untuk mencari pekerjaan seperti yang dijanjikan dan akhirnya berdepan risiko penangkapan, penahanan, layanan buruk, pengusiran, dan eksploitasi.

Kerajaan Malaysia juga disyorkan untuk menyatakan langkah-langkah ke arah menyelesaikan isu-isu yang diketengahkan - akses kepada perkhidmatan kesihatan, makanan, sokongan undang-undang dan sosial, jenis bantuan yang diberikan kepada mangsa pemerdagangan, dan keberkesanan langkah-langkah untuk mencegah pemerdagangan pekerja asing.

Sementara itu, Nadzirah berkata Kementerian Dalam Negei (KDN) menguruskan tahanan di pusat tahanan imigresen mengikut piawaian antarabangsa.

“Dalam menggubal dasar pengurusan pekerja asing, KDN berpandukan empat komponen utama iaitu mengurangkan kos penghijrahan pekerja asing, mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing, melindungi kebajikan mereka dan menjaga hak majikan,” katanya.

Dia juga merujuk kepada resolusi kerajaan terhadap pekerja asing Bangladesh yang terkandas dan menganggur di Pengerang, Johor.

MENARIK:  Stoking KK Mart: Jangan berlaku zalim atas nama agama

Pada Februari lalu, syarikat yang mengambil 733 pekerja Bangladesh itu dilaporkan diberi tempoh 45 hari untuk menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM1,035,557.50 semasa prosiding yang diadakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Pekerja berkenaan telah dibawa masuk melalui saluran pengambilan yang sah, tetapi apabila tiba, mereka tidak diberikan pekerjaan dan diabaikan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata bahawa Jabatan Tenaga Kerja telah menemui majikan baru untuk 692 pekerja asing itu.

Selain itu, Nadzirah berkata Kementerian Sumber Manusia telah melancarkan aplikasi mudah alih dalam talian digelar Working for Workers, yang berfungsi sebagai mekanisme untuk pekerja memfailkan aduan terhadap majikan atas ketidakpatuhan dan melaporkan kebimbangan di bawah 17 kategori isu buruh.

Tambahnya, kerajaan Malaysia juga menyediakan penjagaan dan sokongan kepada mangsa pemerdagangan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

“Sehingga kini, terdapat lapan rumah perlindungan kerajaan (satu pusat perlindungan lelaki, lima pusat perlindungan wanita dan dua pusat perlindungan untuk kanak-kanak) dan dua pusat perlindungan yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan.

"Pelbagai perkhidmatan dan bantuan disediakan untuk mangsa yang menjadi mangsa pemerdagangan seperti tempat tinggal, makanan, sokongan psiko-sosial, program penjanaan pendapatan, latihan bahasa dan vokasional, perkhidmatan panggilan telefon dan pakaian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular