Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menyeru ahli parti supaya untuk terus menegakkan kejujuran dalam perjuangan.
Katanya, kerana tanpa kejujuran, barakah Allah tidak akan turun.
“Kemenangan PAS di empat negeri (sebelum ini) merupakan satu kebanggan, tetapi perjalanan masih panjang.
“Sekarang kita ada SG4, empat negeri yang kita menang. Kita tak sepatutnya bangga, tapi kena kaji macam mana kita mahu menang lagi.
“Masih ada sepuluh negeri lagi untuk kita tawan,” katanya semasa ucapan penggulungan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kerdau, Temerloh, hari ini.
Dia juga berkongsi kisah seorang tentera zaman Khalifah Umar yang menemui barang berharga dan menyerahkannya dengan jujur tanpa mengharapkan balasan.
“Kejujuran ini yang menjadi kunci kepada kemenangan. Allah yang memberi kemenangan jika kita melahirkan pejuang yang ikhlas,” katanya.