Maybank menafikan dakwaan 'amalan tidak adil' seperti yang didakwa Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube).
"Selain Persatuan Bank Perdagangan Malaya (MCBA) dan pihak bank (Maybank) menafikan dakwaan yang dinyatakan oleh Nube, kami ingin memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa tidak ada tindakan tidak adil seperti yang didakwa oleh Nube.
"MCBA, bank-bank anggotanya dan Nube sedang melalui pelbagai proses undang-undang dan oleh itu, kami tidak dapat mengulas lanjut.
"Kami menggesa agar Nube juga menghormati proses tersebut," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan ringkas yang disiarkan di Facebook itu tidak menyatakan dakwaan mana yang dirujuk.
Namun, ia dikeluarkan susulan piket Nube sejak bulan lalu bagi membantah beberapa bank termasuk Maybank atas dakwaan memecah belahkan kesatuan itu, selain menafikan keseimbangan kerja dan kehidupan, keselamatan pekerjaan serta kebebasan daripada buli, diskriminasi, gangguan serta gangguan seksual.
Semalam, ahli kumpulan itu juga mengadakan piket di sebuah cawangan Maybank di Ipoh kerana menggantung seorang kakitangan wanitanya dan tidak mengambil tindakan terhadap penyelianya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya.
Pada April lalu, Nube membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, kerana didakwa meminggirkan pekerja demi rundingan dengan majikan mereka, yang diwakili oleh Persatuan Bank Perdagangan Malaya (MCBA), untuk bayaran bantuan sempena perayaan.