Persempadanan kawasan antara Selangor dan Kuala Lumpur dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun lagi, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin berkata buat masa ini, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sedang melaksana kerja pengukuran yang teliti, yang akan disusuli dengan perjanjian bersama bagi dimuktamadkan persempadanan antara dua negeri itu.
“Kita mahu elakkan (sempadan) melintasi dapur rumah, beranda rumah, termasuk premis tertentu. Kita akan cuba jelaskan sempadan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Van Kutipan Hasil Cukai Tanah dan Cukai Petak kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Selangor, di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin pada 5 Feb dilaporkan berkata penetapan persempadanan tersebut penting kerana ia akan membabitkan kutipan serta pembayaran cukai, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyelenggaran utiliti antara kedua-dua negeri.
Bagaimanapun, Amirudin memaklumkan penetapan persempadanan kawasan yang jelas adalah rumit, kerana melibatkan premis dan kawasan yang telah tepu bina, berbanding kawasan hutan serta pertanian seperti yang pernah ditandatangani kerajaan Selangor bersama Pahang dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menuntut kembali Kuala Lumpur antaranya untuk dijadikan daerah, sebagai menghormati perjanjian penyerahan wilayah itu kepada Kerajaan Persekutuan yang ditandatangani pada 1974.
Beliau berkata isi perjanjian berkenaan tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya keberadaan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kedudukan bangunan Parlimen serta kewujudan kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.
“Belum boleh lagi (tuntut Kuala Lumpur). Kita tunggu mana-mana pemimpin mahu alih parlimen (ke kawasan lain), dan kita boleh memohon semula Kuala Lumpur sebagai daerah (baru) Selangor,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada Selangor berhasrat untuk menuntut kembali Kuala Lumpur.
Terdahulu, Amirudin menjawab pertanyaan tambahan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berhubung cadangan mengambil semula Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada projek Lembah Klang Raya.
Sementara itu kerajaan negeri menjangkakan dengan penyediaan van baharu kepada semua PBT itu, membolehkan kutipan hasil cukai tanah dan petak bertambah sebanyak RM6 juta daripada jumlah sasaran awal tahun hadapan iaitu RM666.3 juta.
Amirudin berkata pengagihan sembilan van kepada semua PDT di Selangor itu membabitkan kos sebanyak RM2.69 juta, dengan sasaran kepada kawasan penduduk berstrata.