Menambah jumlah jet tempur Hornet Malaysia pada harga murah merupakan cadangan yang menarik, tetapi persoalan penting perlu dijawab, adakah ia tindakan bijak?
Perkara itu dibangkitkan oleh ahli akademik Olli Pekka Suorsa di Fulcrum, portal analisis hal ehwal Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura.
Penolong professor itu membangkitkan beban tambahan yang berkaitan dengan penyelenggaraan dan perkhidmatan armada pesawat yang semakin tua.
“Hornet mewakili teknologi yang semakin tua, yang semakin sukar untuk dikekalkan agar relevan. Lebih-lebih lagi, Hornet Kuwait adalah dari blok yang lebih awal, manakala jet tempur Malaysia adalah antara Hornet terakhir yang dihasilkan.
“Ini mungkin menyebabkan isu ketidakserasian apabila berkaitan dengan alat ganti. Selain itu, pesawat tersebut telah menerima peningkatan sistem yang berbeza, yang akan menambah kerumitan penyelenggaraan,” katanya.
Pada 7 Oktober, dilaporkan bahawa Kuwait tidak mempunyai bantahan terhadap permintaan Malaysia untuk memperoleh jet tempur F/A-18 Hornet mereka.
Menteri Pertahanan Malaysia Mohamed Khaled Nordin berkata jawatankuasa terdiri daripada pegawai kedua-dua negara akan ditubuhkan untuk memudahkan urusan ini.
Menurut Suorsa, yang berkhidmat di Akademi Rabdan, Emiriah Arab Bersatu (UA)E, Kuwait mengendalikan 39 Hornet F/A-18C/D, yang dihantar antara Januari 1992 dan Ogos 1993.
“Angkatan udara negara Teluk itu sedang dalam proses meningkatkan kuasa tempur mereka dengan memperoleh jet tempur Super Hornet dan Typhoon.
“Bagaimanapun, penghantaran pesawat ini tertangguh disebabkan oleh Covid-19 dan halangan rantaian bekalan. Ini memaksa Kuwait untuk mengekalkan Hornet lama mereka lebih lama daripada yang dirancang asalnya."
Suorsa berkata Malaysia perlu "mempertimbangkan dengan serius" sama ada Hornet terpakai dari Kuwait ini sesuai dengan rancangan pembangunan jangka panjang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Katanya, pesawat lama yang lebih besar dan usang mungkin membebankan untuk diselenggara.
"Memfokuskan semula bajet pemodenan pertahanan kerajaan yang terhad untuk memperluaskan program Pesawat Tempur Ringan (LCA) atau mempercepatkan program Pesawat Tempur Pelbagai Peranan (MRCA) akan membantu mempersiapkan TUDM menghadapi ancaman masa depan," tambahnya.
[Baca berita asal]