Bekas Perdana Menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa dia tidak tahu bagaimana kerabat diraja Arab mendapat nombor akaun peribadinya untuk menghantar sumbangan.
Dia bagaimanapun memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini bahawa kemungkinan individu dikehendaki, Low Taek Jho (Jho Low), yang berkongsi nombor akaunnya dengan penghantar sumbangan tersebut.
Dia berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar tentang bagaimana pihak lain boleh mengetahui nombor akaun bank peribadinya yang berakhir dengan nombor 694.
Kamal: Bagaimana penghantar sumbangan itu tahu nombor akaun kamu, ada dia tanya?
Najib: Saya tidak tanya.
Kamal: Ini nombor akaun peribadi kamu.
Najib: Mungkin orang lain yang kongsi. Apa yang penting adalah wang itu disahkan masuk.
Kamal: Ini akaun kamu. Macam mana orang lain tahu?
Najib: Saya tidak tahu.
Kamal: Kamu tidak tanya macam mana orang lain boleh dapat nombor akaun kamu?
Najib: Mungkin Jho Low yang nkongsi.
Najib sedang bergantung kepada empat surat daripada kerabat diraja Arab sebagai pembelaan dalam kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan dana 1MDB sebanyak RM2.27 bilion terhadapnya.
Dia mendakwa bahawa dirinya percaya Raja Arab Saudi ketika itu, mendiang Raja Abdullah, telah berjanji untuk memberikan sumbangan politik pada Januari 2010 sebagai bantuan kepada pemimpin negara Islam.
Perbicaraan 1MDB di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung pada Isnin minggu depan.
Pada 30 Oktober lalu, mahkamah jenayah memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada dana pelaburan negara 1MDB yang bermasalah.
Hakim Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie (yang perlu dijawab) terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu.
Hakim menyatakan bahawa Najib perlu menjawab pertuduhan tersebut berdasarkan kekuatan keterangan daripada 50 saksi sepanjang peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.
Sejak keputusan prima facie dibuat, Najib telah memberi keterangan membela diri terhadap pertuduhan jenayah 1MDB.
Tertuduh menegaskan bahawa dia tidak mengetahui sebarang salah laku di 1MDB dan mendakwa penggelapan dana di syarikat pelaburan negara itu sepenuhnya dirancang oleh Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli pengurusan syarikat tersebut.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dalam perbicaraan ini.