Menggunakan Najib Abdul Razak sebagai penanda aras adalah memalukan, kata Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.
Bagaimanapun, dia percaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu diingatkan tentang ikrar masa lalu yang membolehkan pengerusi PH itu kembali memegang kuasa pentadbiran selepas tersingkir lebih dua dekad lalu.
“Bayangkan perlu memetik seseorang yang bertanggungjawab atas skandal kewangan terbesar untuk menekankan perkara ini. Ini paling malang” katanya kepada Malaysiakini.
Tambahan terbaru kepada "senarai kekecewaan yang semakin meningkat" Arutchelvan ialah kerajaan "tidak tergesa-gesa" untuk memisahkan perananan peguam negara dan pendakwa raya.
Apabila Anwar mengangkat sumpah, Arutchelvan berkata terdapat banyak jangkaan dan harapan untuk mempunyai perdana menteri yang "benar-benar reformis" walaupun sebagai ketua kerajaan yang turut dianggotai Umno.
“Tetapi setiap hari yang berlalu membuatkan kami lebih resah. Adakah Anwar 1998 akan muncul atau adakah kita menerima bahawa Anwar sebelum 1998 yang muncul semula?” soalnya.
“Dr Mahathir Mohamad, apabila menjadi perdana menteri semula dengan bantuan Pakatan Harapan, telah memberitahu kita bahawa manifesto itu bukan Bible,” katanya.
Mengimbas ketika Najib menjadi perdana menteri dari 2009 hingga 2018, Arutchelvan menyorot bahawa bekas presiden Umno itu kelihatan lebih reformis berbanding Anwar.
“Najib memperkenalkan undang-undang gaji minimum. Dia adalah perdana menteri pertama yang memberi bantuan berdasarkan persepsi kelas dan bukan kaum, iaitu BR1M, dan pengkritiknya meneruskannya dengan nama yang berbeza.
“Dia memansuhkan pengisytiharan darurat, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang amat digeruni, membawa Akta Perhimpunan Awam malah bercakap tentang memansuhkan Akta Hasutan.
“Najib juga mengisytiharkan bahawa dia adalah rakyat Malaysia sebelum Melayu. Saya ragu Anwar akan melakukan perkara yang sama,” tambahnya.
Pada nota yang sama, Arutchelvan berkata hakikat bahawa BN dinafikan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya 2008 telah memaksa Najib untuk menggunakan pendekatan reformis.
Pemimpin PSM itu berkata selepas mendapat tekanan hebat selepas pilihan raya umum 2013, Najib terpaksa mengambil langkah ke belakang dan menjadi lebih kuku besi selepas skandal 1MDB tercetus.
“Rakyat gembira dapat menyingkirkan Najib dan BN.
“Kita kini mempunyai perdana menteri ke-10, yang sepatutnya menyelamatkan kita dari kegelapan ke fajar baru. Tetapi kita masih menunggu matahari terbit.
“Sosma, Akta Hasutan, pendakwaan terpilih, tidak bertindak ke atas kes, pengasingan kuasa, dakwaan salah guna kuasa dan semua rungutan daripada ‘zaman gelap’ masih kekal,” tambahnya.
"Puncak kekecewaan", menurut Arutchelvan, adalah jika "Rang Undang-undang Tahanan Rumah" membenarkan "reformis" Najib keluar dari penjara di bawah pengawasan "reformis" Anwar.
Dalam teks ucapan Belanjawan 2025, perdana menteri berkata kerajaan akan menggubal undang-undang baru bagi membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu, yang membawa kepada spekulasi bahawa ia berkaitan dengan Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun.