Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri seterusnya, berkuat kuasa 1 Jan 2025.
Musa menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur hari ini.
Di bawah Perkara 1 Perlembagaan Sabah memperuntukkan bahawa TYT, atau Yang di-Pertua Negeri, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Musa akan menggantikan Juhar Mahiruddin, yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Dis 2024.
Sebelum ini, calon lain yang dilaporkan nama mereka diserahkan kepada Agong ialah bekas ketua menteri Joseph Pairin Kitingan dan bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.
Musa berkhidmat sebagai ketua menteri Sabah dari 2003 hingga 2018, di bawah pentadbiran BN.
Dia digulingkan daripada kuasa pada 2018 selepas pembelotan pasca pilihan raya menyaksikan Presiden Warisan Shafie Apdal menjadi ketua menteri.
Musa kemudiannya menghadapi 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan konsesi balak di Sabah.
Bagaimanapun, Musa dibebaskan pada Jun 2020 selepas pertuduhan ditarik balik berikutan permohonan pendakwaan.
Pada 2020, Musa mengatur rampasan kuasa politik terhadap kerajaan pimpinan Warisan di bawah Shafie. Mendakwa telah mendapat sokongan majoriti Adun, Musa berusaha untuk menuntut semula kuasa dengan mengemukakan kesnya kepada TYT Sabah.
Bagaimanapun, percubaan rampasan kuasa itu akhirnya gagal apabila Shafie meminta pembubaran DUN, mencetuskan pilihan raya mengejut.
Dia juga diketepikan oleh BN dalam pilihan raya itu dan digugurkan sebagai calon.