Bekas ketua polis negara Musa Hassan tidak hadir perbicaraan kes saman fitnah terhadapnya yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kerana “tersilap pandang tarikh bicara”.
Pasukan guamannya juga tidak hadir semasa prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Perkara itu menyebabkan pesuruhjaya kehakiman Arziah Mohamed Apandi menangguhkan pendengaran kepada 9 Ogos.
Yeoh menyaman Musa kerana mengaitkannya dengan dakwaan terdapat cubaan mengkristiankan Malaysia.
Ditemui media di luar mahkamah, peguam Yeoh–Razlan Hadri–berkata usaha mereka menghubungi firma guaman yang mengendalikan kes Musa tidak berjaya.
Ketika dihubungi, peguam Musa–Mohd Khairul Azam Abdul Aziz–mengesahkan mereka terlepas pandang tarikh itu.
Dalam prosiding hari ini, Musa sepatutnya disoal balas oleh peguam Yeoh.
Yeoh menyaman Musa pada 3 Julai 2022 susulan kenyataannya dalam sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari tahun yang sama.
Forum anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM itu bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”