Seorang ahli akademik berkata, Akmal Salleh memang berhak mempersoalkan kenyataan Teresa Kok berhubung kenyataan pemimpin DAP itu mengenai isu pensijilan halal.
Bagaimanapun kata Tajuddin Mohd Rasdi, Ketua Pemuda Umno Malaysia itu tidak sepatutnya melemparkan kata-kata penghinaan seperti memanggil Kok sebagai “nyonya tua” atau meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk dilekatkan di dahi ahli parlimen Seputeh itu.
Mengulas sokongan diberikan Umno Tengku Razaleigh Hamzah kepada Akmal untuk tidak meminta maaf kepada Kok, Tajuddin berkata, larangan menghina atau melabel seseorang itu dilarang sendiri oleh Nabi Muhammad SAW.
Dalam kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali, katanya, ulama besar itu menjelaskan bahawa dibolehkan bagi orang Islam menggunakan nama atau panggilan tertentu kepada orang lain dengan penuh kasih sayang.
"Sebagai contoh, Nabi Muhammad memanggil salah seorang sahabatnya sebagai Abu Hurairah atau Bapa Kucing kerana sahabat terbabit suka bermain dengan kucing dan dia sendiri suka kepada gelaran tersebut.
“Begitu juga, Nabi Muhammad memanggil menantunya, Ali Abu Talib sebagai Abu Turab atau Bapa Debu apabila mendapati beliau sedang tidur di masjid Nabawi di Madinah dan dia ditutup dengan debu, dan Ali tidak kisah dipanggil sedemikian," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, menurut Tajuddin, jika individu terbabit tidak berkenan dengan gelaran yang diberikan, maka berdosa untuk melakukan panggilan atau gelaran tersebut.
"Dosa itu pula hanya boleh dihapuskan jika orang berkenaan memberikan kemaafan. Jika tidak, di akhirat nanti dosa ini akan dibangkitkan sebagai bukti,” katanya lagi.
Pagi tadi Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai Tengku Razaleigh yang membela Akmal dengan menganggap pendirian exco Melaka itu selaras dengan perjuangan Umno.
“Mengapa nak kena minta maaf (kepada Kok)?
"Saya rasa ini adalah pandangan ikhlas daripada ketua pemuda (Umno) kita (Akmal)... dia meluahkan perasaan (dan ini) bukan soal sijil halal tak halal tapi soal perasaan dia tak begitu puas hati.
“Pandangan saya, macam apa yang diluahkan oleh pemimpin kita sama ada Akmal ataupun sesiapa, bukan bererti kita mempunyai perasaan anti ataupun nak lawan,” katanya yang dipetik MalaysiaGazette.
Mencemar rasa hormat
Tajuddin yang pernah mengkritik Akmal sebelum ini menegaskan kenyataan ketua Pemuda Umno terhadap Kok "jelas tidak wajar" selain bukan akibat diprovokasi.
Justeru, katanya, tindakan Akmal tersebut bolehlah dianggap sebagai berdosa.
“Mungkin memang menjadi budaya Umno menggunakan istilah menghina lawan politik terutamanya bukan Islam... (tapi) ia dilarang oleh Nabi Muhammad dan Islam.
"Jika tiada mufti tidak memberitahu Tengku Razaleigh perkara ini, izinkan saya berbuat demikian," tambahnya.
Menurut profesor seni bina itu tingkah laku yang dipaparkan ahli politik terbabit sebenarnya mencemarkan rasa hormat dan keharmonian di Malaysia.
“Apakah contoh yang mahu Akmal tunjukkan sebagai wakil rakyat, exco dan seorang yang dihormati dengan gelaran yang terhormat?” katanya.
Sebagai umat Islam, kata Tajudin, nabi malah melarang perbuatan menghina musuh-musuh Islam yang gugur dalam peperanangan kerana dikhuatiri ia turut menghina ahli keluarga mereka.
“Lebih-lebih lagi jika seorang Muslim tidak menghormati nama wakil rakyat yang sangat dihormati seperti Kok yang masih hidup, mempunyai keluarga dan merupakan sebahagian daripada kumpulan etnik yang banyak menyumbang kepada kemakmuran Malaysia,” katanya.
[Baca berita asal]