NGO berdemo tuntut mansuh akta hasutan, solidariti aktivis Sabah

Shopee Sale

Kumpulan masyarakat sivil tampil bersolidariti dengan pengasas Borneo Komrad Mukmin Nantang yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Mukmin, seorang aktivis Sabah yang telah mempertahankan masyarakat Bajau Laut yang tidak bernegara, bulan lalu telah ditangkap di bawah undang-undang warisan era penjajah British dan kini bebas selepas ikat jamin polis.

Dalam memorandum yang disediakan oleh NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram), 33 kumpulan menyokong gesaan agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji PH untuk memansuhkan undang-undang itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim turun bertemu sekitar 20 wakil kumpulan itu ketika mereka berkumpul kira-kira 1km dari bangunan parlimen selepas perarakan singkat dari Taman Tugu berhampiran.

"Saya ucapkan tahniah kepada anak muda hari ini.

“Kita lihat negara kita masih ada masa depan kerana anak muda masih bersuara," kata pemimpin veteran PKR itu.

Hassan turut berkongsi bagaimana dia merayu terhadap pertuduhan menghasut kerana didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam ulasannya berhubung krisis menteri besar 2014 di negeri itu.

Hassan bersama Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, menerima memorandum itu dan berjanji untuk memainkan perananan mereka sebagai ahli parlimen kerajaan untuk membangkitkan tuntutan mereka.

Ketiga-tiga penggubal undang-undang itu meninggalkan perhimpunan selepas kira-kira 20 minit dan ucapan seterusnya menjadi lebih hangat dengan peringatan tentang PH yang mungkir janji.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata penangkapan Mukmin, dipercayai dikaitkan dengan video tular di TikTok yang menonjolkan nasib Bajau Laut tanpa kerakyatan, menandakan prestasi "paling rendah" kerajaan setakat ini.

"Apa yang Mukmin buat? Dia bangkitkan isu rakyat tetapi kerajaan menggunakan Akta Hasutan 1948.

“Akta hasutan ini adalah akta penjajah.

"Apa guna akta ini kepada penjajah? Penjajah menggunakan akta untuk senyapkan suara rakyat yang bangkit menuntut kemerdekaan.

"Akta yang sama juga kerajaan gunakan untuk mendiamkan suara rakyat,” katanya.

Sevan turut membidas Kok yang menerima tuntutan mereka dalam memorandum itu tetapi berkata kerajaan berdepan kedudukan yang sukar tanpa akta hasutan apabila berhadapan dengan isu kaum, raja-raja dan agama.

Mewakili kumpulan demokrasi anak muda Mandiri, Wong Kueng Hui (gambar bawah) yang pernah menjadi orang tanpa kerakyatan berkata walaupun janji dibuat untuk pembaharuan undang-undang yang menindas, sebaliknya, kerajaan telah mengambil langkah mundur dalam isu hak kewarganegaraan.

"Isu 3R (kaum, agama dan raja-raja) boleh ditangani tanpa Akta Hasutan

MENARIK:  Najib tak dedah pertemuan dengan raja Saudi pada 2018 - saksi

"Sikap dan kelakuan pemerintah dalam menginjak kebebasan yang dijamin dalam perlembagaan persekutuan adalah cubaan jelas terdesak untuk membungkam kritikan dan terus berpegang pada kuasa,” katanya.

Setiausaha Agung Muda Amir Abdul Hadi pula mengingatkan ramai ahli parlimen kerajaan daripada PH, termasuk yang dilantik sebagai menteri pernah menyokong Gerakan Hapus Akta Hasutan yang ditubuhkan pada 2014.

Amir berkata gerakan itu dibentuk sebagai reaksi terhadap "peningkatan 1,000 peratus" dalam pertuduhan menghasut antara 2009 dan 2012, selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Bila ada wakil kerajaan yang datang (ke perhimpunan ini) dan sebut mereka ada kesukaran (sekarang), adakah ketika mereka laungkan mansuh (akta hasutan) sebelum ini, (mereka) tak fikir apa implikasi," soalnya.

Pengasas bersama Buku Jalanan Chow Kit Siti Rahayu Baharin berkata aktivis yang bekerja dengan kanak-kanak tanpa kerakyatan hanya menumpukan aspek masa depan anak didik di bawah jagaan mereka.

"Kita tidak sentuh langsung isu 3R. Jangan ganggu aktivis yang bekerja di tengah masyarakat.

"Bekerja di tengah masyarakat ini penat, tiada bilik berhawa dingin seperti dalam parlimen. Jadi jangan ganggu kami dan mansuh akta hasutan,” tegas bekas guru yang bertanding atas tiket Muda dan tewas di kerusi parlimen Tanjong Karang pada pilihan raya umum ke-15.

Bekas presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut hadir menyokong kumpulan itu dan menerima memorandum mereka.

Anggota polis beruniform dan berpakaian biasa kelihatan berkawal di lokasi perhimpunan yangtamat selepas sejam berlangsung.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular