Kumpulan pendesak Rangkaian Rawang Tolak Insinerator (RTI) menggesa calon-calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) menyatakan pendirian mereka terhadap cadangan projek insinerator Batu Arang.
Dalam satu kenyataan, RTI berkata setakat ini, dua Adun - wakil Rawang Chua Wei Kiat (Pakatan Harapan-PKR) dan Rafiq Abdullah dari Kuang (Perikatan Nasional-Bersatu) yang menyokong suara-suara bertentangan mengenai isu itu.
“Justeru, RTI menggesa empat calon PRK KKB menjelaskan sama ada mereka akan memperjuangkan pelaksanaan pengasingan sisa di punca melalui langkah perundangan di DUN Selangor jika menang nanti.
“(Juga) Adakah mereka menyokong projek insinerator Batu Arang yang dipertikaikan walaupun terdapat potensi bahaya alam sekitar?” soal kumpulan itu, hari ini.
Batu Arang terletak kira-kira 44km dari Kuala Kubu Baharu.
RTI seterusnya menyatakan hasrat untuk berjumpa sendiri dengan empat calon berkenaan bagi membincangkan isu insinerator secara mendalam.
Dalam kenyataan itu, NGO tersebut turut menyelar kerajaan negeri Selangor yang mahu meneruskan projek itu walaupun mendapat tentangan dan bantahan daripada penduduk Rawang.
“Cadangan pembinaan insinerator itu, dengan anggaran kos RM4.5 bilion, dianggap tidak mampan dari segi ekonomi.
“Lebih-lebih lagi, insinerator itu dijangka mengeluarkan karbon dioksida, memburukkan lagi pemanasan global, dan mengeluarkan dioksin yang sangat toksik, isu yang gagal ditangani kerajaan negeri dengan memuaskan,” katanya.
PRK KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru - Pang Sock Tao (Pakatan Harapan-DAP), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional-Bersatu), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia), dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dengan pengundian awal pada 7 Mei.