Kumpulan masyarakat sivil menggesa supaya pemberian kontrak kerajaan dilakukan secara telus.
Gesaan itu dibuat susulan kontroversi berkaitan kontrak pengangkutan Selangor kepada Asia Mobility Sdn Bhd (Asia Mobiliti), yang diterajui oleh Ramachandran Muniandy, suami kepada menteri belia dan sukan Hannah Yeoh.
Gabungan Platform for Reform berkata, walaupun bukan kementerian Yeoh yang memberikan projek itu, penglibatan ahli keluarga rapat memerlukan penelitian ketat.
"Soalannya adakah perkara ini diisytiharkan pada permulaan proses dan dimaklumkan kepada pasukan perolehan kerajaan negeri.
"Perkara ini sangat membimbangkan kerana proses rundingan langsung digunakan untuk memberikan kontrak, memintas sistem tender terbuka yang direka untuk memastikan ketelusan dan keadilan," kata gabungan itu.
Antara NGO yang bergabung dalam Platform for Reform ialah Bersih, Pusat Komas, C4 Center, and Suaram.
Semalam Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata Asia Mobiliti dalam proses melaksanakan bukti konsep (POC) projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) secara permintaan untuk cadangan (RfP) dan bukan menerusi rundingan terus seperti didakwa.
Terdahulu, Asia Mobiliti mempertahankan pembabitannya dengan atas alasan hanya dua syarikat di negara ini layak untuk menyediakan perkhidmatan yang diberikan mereka.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan interim berhubung isu itu tidak menemukan sebarang kesalahan.
[Baca berita asal]