‘Nur Jazlan patut gesa Akmal mohon maaf, bukan ejek DAP’

Shopee Sale

PRK MAHKOTA | Umno Johor seharusnya meminta Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang menyinggung perasaan terhadap masyarakat Cina Malaysia jika mahu memenangi pilihan raya kecil DUN ini, kata Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Lee Chin Chen.

Menurutnya, Umno Johor perlu bersikap pragmatik dalam berinteraksi dengan pengundi, bukannya memperburuk keadaan dengan menabur perpecahan melalui sindiran, label dan tuduhan.

Umno sepatutnya bermuhasabah diri terhadap sikap anggotanya dan berhenti menuding jari menyalahkan pengundi Cina dan DAP.

"Jika (Timbalan Pengerusi BN Johor Nur Jazlan Mohamed) bersedia turun padang dan mendengar pandangan ikhlas pengundi Cina di Johor tentang Akmal, dia akan segera memahami mengapa suasana pilihan raya kali ini begitu tegang," katanya pada kenyataan hari ini.

Lee berkata demikian selepas Nur Jazlan menulis di Facebook yang menekan DAP untuk memastikan pengundi Cina keluar mengundi PRK Mahkota pada Sabtu ini, sambil menyindir tugas itu mudah untuk DAP dan rangkaian laskar sibernya.

Nur Jazlan juga mendakwa sekumpulan pengundi Cina bertindak secara "oportunis" dalam membuat pilihan dan jika mereka tidak dapat dipengaruhi oleh calon BN yang berkeupayaan berbahasa Cina, Syed Hussien Syed Abdullah, mungkin bermaksud mereka tidak berminat untuk mengundi calon bukan Cina.

Menolak tuduhan Nur Jazlan, Lee mendakwa jika pengundi Cina tidak keluar mengundi sebab utamanya kerana “kelakuan ekstrem” Akmal dan bukannya faktor-faktor yang disebut Nur Jazlan.

"Walaupun DAP mendapat sokongan meluas dalam kalangan masyarakat Cina, pengundi Cina tidak pernah menjadi 'deposit tetap' bagi mana-mana parti politik.

"Mereka membuat penilaian sendiri dan pada PRK Mahkota ini, punca jelas ketidakpuasan hati disebabkan retorik perkauman Akmal,” tambahnya.

Lee turut menafikan dakwaan Nur Jazlan pengundi Cina tidak berminat untuk mengundi calon bukan Cina.

Sebagai contoh, katanya, Umno dan DAP telah berjaya bekerjasama pada PRK dan pilihan raya negeri tahun lalu, dengan ramai pengundi Cina tiada masalah mengundi calon bukan Cina.

Pada PRK Mahkota, Syed Hussien yang juga ketua Pemuda Umno Kluang dan bekas pelajar sekolah vernakular Cina berhadapan dengan calon PN Mohamad Haizan Jaafar, dalam pertandingan satu lawan satu.

Sekitar 35 peratus pengundi Cina di Mahkota, 54 peratus Melayu dan lapan peratus India.

Undi masyarakat Cina berpotensi menentukan kemenangan BN dalam mempertahankan kerusi tersebut dan terdapat kebimbangan peratusan keluar mengundi dalam kalangan komuniti itu mungkin rendah.

Salah satu faktor utamanya kerana tidak puas hati dengan serangan Akmal terhadap Naib Pengerusi DAP Teresa Kok mengenai isu sijil halal.

MENARIK:  Tak wajar sebar Islam di rumah ibadat bukan Islam - MCCBCHST

Sebelum ini Kok yang juga ahli parlimen Seputeh disiasat berhubung kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Antara lain Kok berkata cadangan itu bakal membebankan peniaga, termasuk orang Islam dan boleh menjejaskan imej Malaysia.

Susulan itu Akmal menggelarkan Kok sebagai "Nyonya tua" dan memberi amaran supaya pemimpin DAP itu tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam.

Dia juga secara sinis meminta kerajaan menyediakan logo non-halal untuk “ditampal di dahi” pemimpin DAP itu.

Kok telah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung isu itu namun menegaskan tiada keperluan untuk pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadapnya.

Dia juga telah dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas "penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian".

Pada hari sama Kok mengeluarkan surat tuntutan kepada Akmal bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM25 juta.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair and Partners, Kok mendakwa Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Pun begitu Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Sept menjelaskan pergeseran antara Ketua Pemuda Umno dan Naib Pengerusi DAP berhubung isu pensijilan halal sudah reda.

Zahid berkata dia sudahpun mengeluarkan kenyataan pada 18 Sept berkaitan pendirian kerajaan bahawa permohonan sijil halal kekal dibuat secara sukarela.

"Dah reda (tone down), saya sendiri telah berjumpa dengan Dr Akmal pada 14 Sept lepas bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan saya juga telah memberitahu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengenai perkara itu.

"Jadi isu ini telah ditutup," kata Zahid.


News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular