Kerajaan Pahang hari ini mengesahkan menerima aduan daripada peniaga di Medan Agro, dekat Cameron Highlands yang mendakwa sewa premis kedai mereka dinaikkan antara RM5,000 hingga RM7,500.
Aduan itu diterima minggu lalu dan disahkan oleh Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang.
Sim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berkaitan dakwaan kumpulan peniaga itu.
"Memang saya ada dapat aduan minggu lepas pasal (kadar sewa) daripada RM500 naik ke RM5,000.
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tengah siasat kenapa boleh jadi macam tu.
"Kita akan maklumkan (hasil siasatan) selepas ia selesai... mungkin dalam masa dua minggu," katanya ketika sidang media selepas perasmian Ekspo Pelancongan Antarabangsa Malaysia Pahang 2024 di Kuantan, hari ini.
Ekspo itu dirasmikan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man selaku wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Kelmarin, tular satu video di platform TikTok menunjukkan seorang wakil NGO mendakwa tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) Cameron Highlands menaikkan kadar sewa terlalu tinggi seolah-olah menindas peniaga warga tempatan.
Dakwa lelaki itu, kadar sewa asal RM500 dinaikkan hingga mencecah RM7,500 dan dilihat seperti mahu menutup periuk nasi peniaga tempatan selain membuka ruang kepada warga asing mengambil alih gerai di situ.
Sementara itu, Leong ketika diminta mengulas mengenai isu sama memberitahu, kenaikan kadar sewa dan kemungkinan harga jualan produk juga dinaikkan di Medan Agro Cameron Highlands diharap tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke kawasan tanah tinggi itu.
"Harga di tempat pelancongan memang dipantau setiap masa... kita ada exco (Sim) yang memainkan perananan, sangat rajin untuk membuat semakan, pemeriksaan setiap minggu.
"Kalau kita terima aduan (kenaikan harga) kita berharap tindakan akan diambil dan pada masa yang sama kita juga berharap peniaga dapat bekerjasama dengan kita," katanya.
Ditanya mengenai isu daftar masuk-keluar hotel yang sebelum ini banyak diperkatakan, Leong memaklumkan isu daftar masuk jam 4 petang tidak timbul dalam kalangan pemain industri pelancongan di Pahang.
Jelasnya, sebagaimana dimaklumkan MOTAC sebelum ini, daftar masuk atau keluar adalah berbeza antara satu lokasi pelancongan dengan lokasi lain.
"Kalau macam di Pulau Tioman, waktu daftar masuk bergantung kepada jadual perjalanan feri ke sana.
"Jadi, ia bukan isu besar di Pahang," jelasnya.