Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan beberapa undang-undang perlu dipinda bagi membolehkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka untuk program parallel pathway.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.
Menjelaskan perkara itu dalam sidang media mingguannya, Fahmi yang juga menteri komunikasi bagaimanapun tidak memperincikan undang-undang yang mana bakal dipinda.
“Isu ini yang akan dibincangkan pada minggu depan, melibatkan pindaan kepada beberapa akta, tetapi belum dimaklumkan kepada jemaah menteri apa akta atau akta-akta khusus (akan dipinda).
“Jadi kita tunggu perbentangan kertas kerja tersebut minggu depan,” katanya di Putrajaya hari ini.
Fahmi juga memberitahu, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir memberitahu kabinet semasa mesyuarat tadi, berlaku salah faham berhubung keputusan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.
Menurut ahli parlimen Lembah Pantai itu lagi, Zambry menjelaskan bahawa perjanjian sebelum ini bukanlah membuka program ijazah sarjana muda perubatan penuh di UiTM.
Sebaliknya, kata Fahmi, ia melibatkan program latihan untuk pegawai perubatan saja.
[Laporan lanjut menyusul]