PAS: Permohonan afidavit Zafrul ditolak timbulkan persoalan integriti k’jaan

Shopee Sale

Pemimpin PAS menyifatkan kegagalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memfailkan afidavit berhubung pengampunan diraja bekas perdana menteri Najib Razak, menimbulkan pelbagai persoalan mengenai integriti, kejujuran dan ketelusan kerajaan serta kedudukan dan maruah Raja-raja Melayu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata perkara itu diburukkan lagi dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menurutnya mahu berlepas tangan berhubung isu yang melibatkan “titah addendum” yang didakwa dikeluarkan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah pada Januari, serta Timbalan Perdana Menteri Ahmad Afidavit Zahid Hamidi yang mengesahkan kewujudan dokumen itu.

"Tanpa merujuk kepada alasan penghakiman ketika menolak permohonan tersebut, PAS percaya percanggahan 'fakta' antara dua orang menteri dalam kerajaan yang sama sehingga ia perlu 'diperbetulkan' melalui tindakan undang-undang berkait bukan sahaja satu kes besar yang mendapat perhatian dunia, tetapi juga titah Agong, memberi gambaran sangat buruk tentang keutuhan serta kerukunan kepimpinan kerajaan, selain mendedahkan sikap sebenar kerajaan berhubung kedudukan dan keutamaan perintah seorang Ketua Negara.

"Keadaan ini diburukkan lagi oleh beberapa kenyataan perdana menteri sendiri yang seolah-olah mahu berlepas tangan dan berdolak-dalik untuk tidak menjawab atau 'terbabit' dengan isu berkenaan secara tuntas dan muktamad, terutamanya berkait persoalan kewujudan titah addendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara beliau di rumah sebagai sebahagian daripada pengampunan yang diterimanya," kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu merujuk kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menafikan permohonan Zafrul untuk "membetulkan fakta" yang dikatakan dalam afidavit Zahid yang menyokong semakan kehakiman Najib, yang dikaitkan dengan titah addendum itu.

Dalam membuat penghakiman, Hakim Amarjeet Singh berkata Zafrul boleh memohon semula jika ia memberikan kebenaran kepada Najib pada 5 Jun untuk memulakan semakan kehakiman tahanan rumah.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tindakan Zahid memfailkan afidavit menyokong bidaan Najib juga "sumbang dan pelik" dari pelbagai aspek.

"Sebagai anggota Jemaah Menteri tentulah tindakannya itu akan mengheret kerajaan ke dalam krisis kepimpinan dan juga perlembagaan.

"Ini kerana ia jelas menolak dan menyokong cabaran terhadap keputusan kerajaan sendiri, terutama sekali apabila Zahid turut mendakwa bahawa anggota kerajaan mengetahui tentang kewujudan titah addendum tersebut sedangkan ia dinafikan oleh menteri yang lain atau paling tidak membisu tentangnya.

"Kedua, sebagai ketua parti, PAS juga berasa hairan mengapa Zahid perlu menunggu begitu lama, iaitu sehingga 9 April, untuk membuat 'pendedahan' itu dengan memfailkan afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman Najib sebelum itu sedangkan menurut dakwaan beliau Tengku Zafrul memaklumkan kepadanya tentang kewujudan titah addendum tersebut pada 29 Januari lagi," katanya.

MENARIK:  Datuk kesal cucu tetap kena bayar fi murid warga asing

Justeru, kata Takiyuddin, PAS menggesa kerajaan menjelaskan perkara itu, dan mengambil tanggungjawab untuk membetulkan keadaan.

"Ia bukan sahaja melibatkan kesejahteraan diri seorang individu, malah lebih penting ialah kemaslahatan negara dan rakyat serta keutuhan sistem kenegaraan kita yang tidak boleh dibiarkan terus tertekan dan tercabar oleh kelemahan dan kegagalan kerajaan serta kepimpinannya," tambahnya.

Najib memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan "titah addendum" yang didakwa dikeluarkan oleh Sultan Abdullah yang dikaitkan dengan pengampunan Najib dalam mengurangkan separuh hukuman penjara kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut afidavit Najib yang menyokong semakan kehakimannya, bekas ahli parlimen Pekan itu mendakwa bahawa titah diraja utama Agong membenarkan pengampunan itu disertakan dengan perintah tambahan diraja yang mengandungi peruntukan tahanan rumah.

Bekas presiden Umno itu memohon perintah mahkamah untuk memaksa menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan, dan beberapa responden lain mengesahkan perintah tambahan ini dalam pengampunan berkenaan.

Pada 4 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa Najib tidak berada dalam senarai banduan yang akan menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.

Menteri itu memberitahu Malaysiakini bahawa hanya banduan yang menjalani hukuman penjara kurang daripada empat tahun, warga emas, wanita hamil, dan orang kurang upaya akan berada dalam senarai tahanan rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular