PAS berpendapat langkah Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, menolak untuk sepentas bersama Akmal Saleh sebagai sesuatu yang tidak manis memandangkan mereka berada dalam kerajaan yang sama.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mendakwa tindakan Kok itu sebenarnya boleh dianggap sebagai penolakan ahli politik terbabit kepada Umno secara keseluruhan.
Tambahan pula, kata Ahmad Fadhli, dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung di Mahkota pada hujung minggu ini melibatkan pemimpin Pemuda Umno Johor.
"Jika Teresa (Kok) tak sudi sepentas dengan Ketua Pemuda Umno (Akmal), itu bermaksud Teresa telah tolak Umno keseluruhannya. Tak elok tu boss.
"Saya yakin, pemuda-pemuda Umno tidak akan biarkan orang ini (Kok) 'isytihar peranang' terhadap bos mereka.
"Kecualilah pendirian Ketua Pemuda Umno sebenarnya tidak mendapat sokongan daripada orang Umno sendiri," katanya hari ini.
Akmal dan Kok terlibat dalam pertikaian yang kemudian membawa kedua-dua mereka ke mahkamah selepas pemimpin DAP berkenaan mengemukakan surat tuntutan kepada exco Melaka ekoran kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
Di sebalik kemelut itu, muncul cadangan agar Akmal dan Kok dibawa sepentas berkempen untuk memenangkan calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah, yang cuba mempertahankan kerusi Mahkota daripada dirampas oleh PN pada Sabtu ini.
Bagaimanapun Kok memberitahu Malaysiakini hari ini, dia tidak akan terlibat berkempen dengan Akmal di Mahkota.
“Peguam saya telah mengeluarkan surat tuntutan sebagai memulakan kemungkinan saman terhadap Akmal.
"Peguamnya sudah berhubung dengan peguam saya berhubung perkara ini,” katanya.
Ahmad Fadhli berkata dia memberikan pandangan terhadap kemelut tersebut - walaupun tidak melibatkan PAS - kerana ia dilaporkan secara terbuka.
"Kalau tak nak rakyat bagi pandangan, senyap-senyap (berbincang) dalam mesyuarat (jika ada) sudahlah," katanya.