Peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili "Abang Bas" berhak menjelaskan melalui video TikTok mengenai keadaan di sebalik dakwaan terhadap anak guamnya yang berdepan pertuduhan serangan seksual dan membuat hantaran menyinggung perasaan.
Pengamal undang-undang Ramesh NP Chandran berkata Zaharil tidak melanggar prinsip subjudis apabila dia menjelaskan anak guamnya itu tidak memahami maksud perkataan "crush", tetapi hanya menggunakannya kerana ia 'trending' dan bertujuan supaya video berkenaan muncul di halaman For You di TikTok.
"Peraturan subjudis mengawal kenyataan umum yang boleh dibuat mengenai prosiding undang-undang yang sedang berlangsung di mahkamah.
"Bagi anak guam, peraturan subjudis bertujuan untuk menjaga kesucian prosiding mahkamah yang sedang berjalan sehingga selesai, bagi memastikan tertuduh mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah undang-undang.
"Bagaimanapun, pada pandangan saya, oleh kerana peguambela yang memberikan ulasan dan menjawab soalan, maka dia bebas menjawab dan tidak harus dihalang," kata Ramesh kepada Malaysiakini.
“Tiada prejudis kepada anak guamnya. Kebiasaannya, peraturan subjusi tidak melarang laporan yang adil dan tepat mengenai kandungan fakta dalam prosiding yang sedang berlangsung.
“Saya juga berpendapat jika ia melibatkan kepentingan awam, ia boleh dan sepatutnya dibincangkan secara meluas tanpa rasa takut akan penghinaan mahkamah," tambahnya.
### Pertimbangan kepentingan awam
Peguam Kee Hui Yee juga setuju ia tidak subjudis, berkata keseimbangan perlu dicapai antara kebebasan bersuara dan hak untuk perbicaraan yang adil.
"Isu ini berkepentingan awam dan media mempunyai hak untuk melaporkannya.
"Jika ia isu berkepentingan awam, ia boleh dibincangkan secara meluas tanpa rasa takut akan penghinaan mahkamah.
"Kritikan boleh terus dibuat dan diulang. Ulasan yang adil tidak menjejaskan perbicaraan yang adil," katanya memetik keputusan Hakim Wan Suleiman FJ dalam kes Loot Ting Yee v Sheikh Hussain Sheikh Mohamed & Ors [1982] 1 MLJ 124.
Bagaimanapun, Kee menegaskan perbincangan tidak seharusnya dibuat dengan cara yang boleh menjejaskan perbicaraan.
"Apapun yang berlaku di mahkamah, media boleh melaporkannya secara adil kecuali ada perintah larangan yang dikenakan oleh mahkamah.
"Kes ini melibatkan kanak-kanak, jadi identiti kanak-kanak tersebut perlu dilindungi dan kesejahteraan mereka mesti diutamakan," tambahnya.
Bagaimanapun seorang lagi peguam, Tun Laila Tun Rafaee berkata Zaharil tidak beretika untuk mengulas kes yang sedang berjalan melalui hantaran video di Tik Tok..
Kes ini menarik perhatian pada 5 September apabila seorang pengguna media sosial berkongsi tangkapan skrin hantaran TikTok seorang pemandu bas sekolah yang merujuk seorang murid sebagai "crush" dan "kesayangan"nya.
Pada 10 September, pemandu bas itu didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan serangan seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap kanak-kanak di bawah Seksyen 14(a) dan 15(a)(iii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Pada 12 September, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana didakwa memuat naik komen yang menyinggung perasaan dalam video TikTok.
Menurut pertuduhan, dia dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang menyinggung perasaan dalam video yang menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dengan petikan “Harini crush busy buat homework” diikuti emoji "love" sambil memerhati kanak-kanak tersebut.
Dia telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM40,000.
[Baca berita asal]