Peguam mohon Majlis Raja-Raja bincang keingkaran PM, AG akui titah adendum

Shopee Sale

Peguam senior, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memohon Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan keingkaran perdana menteri dan peguam negara mengakui kewujudan titah adendum membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Haniff mempersoalkan mengapa sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdiam diri dan tidak mengakui kewujudan titah berkenaan.

Sedangkan katanya, Anwar pada 21 April 2024 dilaporkan mengakui telah berjumpa Peguam Negara ketika itu, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh namun mengatakan titah di luar mesyuarat lembaga pengampunan adalah tidak sah.

“Mengapa pada masa itu tidak diakui oleh Anwar bahawa (titah adendum) adalah wujud.

“Walaupun pada masa itu mereka (kerajaan) tidak mahu menerima kesahihan sekali pun, mereka wajib mengakui kewujudan.

“Isu kesahihan adalah isu berbeza.

"Rakyat Malaysia telah dibazirkan masa, tenaga, telah dimasukkan dalam kecelaruan, keliruan berkaitan isu titah adendum ini kerana kerajaan berdiam diri secara salah.

"Saya mengesyorkan dengan takzim dan penuh hormat, kepada Majlis Raja-Raja, ke bawah duli Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil satu mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tujuan membincangkan keingkaran pengakuan kewujudan titah pengampunan adendum berkenaan oleh kesemua pihak yang terbabit, sama ada oleh peguam negara berkenaan dan terutama kerajaan ini yang diterajui oleh Anwar Ibrahim,” kata Mohamed Haniff Khatri Abdulla menerusi video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui bahawa Peguam Negara menerima surat berhubung titah tambahan itu.

Bagaimanapun, Anwar berkata selepas surat itu diterima, Agong bertukar, dan AG menyerahkan surat itu kepada Istana Negara untuk membenarkan Agong yang baru Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan – tanpa Lembaga Pengampunan dan kehadirannya.

"Surat tu dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli lembaga pengampunan.

"Dan peguam negara kemudian bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (lembaga pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” Anwar dilaporkan berkata.

Anwar tidak menamakan peguam negara tersebut tetapi ia dipercayai merujuk kepada peguam negara sebelum ini, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Terrirudin menyandang jawatan itu pada 6 Sept 2023, dan meletakkan jawatan pada 11 Nov 2024 Tempatnya kemudian digantikan oleh Mohd Dusuki Mokhtar.

MENARIK:  Minta cerai dapat parang

Haniff berkata susulan Anwar mengesahkan kewujudan titah adendum itu, dia mempersoalkan mengapa Terririudin tidak melaksanakannya walaupun arahan jelas daripada Agong sebelum ini.

“Dengan pengakuan Anwar Ibrahim bahawa Peguam Negara Terrirudin Mohd Salleh telah menerima surat titah 29 Jan 2024 daripada ke bawah duli Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada masa itu, maka kegagalan melaksanakan titah itu pada pandangan jujur ​​saya adalah salah," katanya.

Mengenai cara melaksanakan tahanan rumah, Haniff berkata ia adalah isu pentadbiran yang boleh diselesaikan kemudian.

Haniff memohon Majlis Raja-Raja mengambil tindakan sewajarnya terhadap peguam negara terdahulu dan kerajaan pimpinan Anwar sejajar dengan hak raja-raja seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Langkah itu, tambahnya akan memastikan rakyat kembali yakin kepada institusi negara.

“Ini bukan soal tatakelola semata-mata. Tatakelola adalah berkaitan tadbir urus pejabat kementerian dan agensi.

“Ini adalah berkaitan dengan tadbir urus negara di bawah perlembagaan dan undang-undang.

"Saya percaya kata-kata Anwar Ibrahim perlu dijawab oleh Anwar Ibrahim sendiri,” katanya lagi.

Pada 8 Jan, Terrirudin dan penggantinya Mohd Dusuki Mokhtar enggan menjawab pertanyaan media berhubung titah tambahan berkenaan.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular