Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan seorang pemberi maklumat berkenaan kes klip video beberapa Adun membincangkan rasuah telah berjumpa dengan pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu.
Azam berkata ketika pertemuan itu, peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat di mana beberapa orang didengar sedang berbincang tentang wang.
Azam menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan rasmi dengan SPRM bagi memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menyatakan individu yang memiliki maklumat perlu mendedahkan perlakuan salah dahulu, seperti ditakrif undang-undang, sebelum proses perlindungan dapat dimulakan.
“SPRM tidak boleh memberikan sebarang jaminan imuniti bertulis, yang bermakna individu itu tidak akan disiasat atau didakwa, tanpa maklumat terperinci berkenaan perlakuan salah tersebut.
“Justeru, untuk SPRM menawarkan perlindungan di bawah undang-undang kepada individu itu (sebelum laporan dibuat) adalah tindakan pramatang,” kata Azam kepada Malaysiakini.
Perlindungan boleh ditarik balik
Azam menegaskan undang-undang menyatakan apabila individu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia akan dilindungi oleh undang-undang.
Namun, katanya, undang-undang turut menyatakan jika individu itu didapati turut terlibat dalam kesalahan yang berlaku, perlindungan itu akan terbatal.
Baca: Video Adun bincang rasuah: Pemberi maklumat minta perlindungan SPRM
“Peguam membayangkan yang anak guamnya sedia untuk memberikan sejumlah bukti kepada kita, namun dia mahu SPRM menandatangani persetujuan menyatakan dia (anak guam) tidak akan diletakkan di bawah siasatan.
“Namun, pegawai saya tidak setuju untuk tandatangani persetujuan kerana ia bukan prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi SPRM.
“Selain itu, peguam turut menyatakan yang dia tidak percaya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, memandangkan dia yakin akta itu tidak memadai dan tidak memberikan sebarang jaminan anak guamnya akan dilindungi secara wajar,” katanya lagi.
‘Saksama dan profesional’
Azam turut memberi jaminan yang SPRM akan bertindak berlandaskan undang-undang agar kes tersebut ditangani secara “saksama dan profesional” dan sebarang dakwaan salah laku akan disiasat secara terperinci.
Hari ini, Malaysiakini melaporkan terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan “rasuah” bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
Bagaimanapun, sumber berkata sementara pemberi maklumat sedia untuk mendedahkan perakra itu, dia mahu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Selain lapan rakaman video itu, Malaysiakini turut ditunjukkan dokumen berkaitan projek tersebut serta maklumat perbankan dalam talian berkaitan dakwaan rasuah yang berlaku.
Dalam rakaman tersebut, yang dipercayai diambil pada awal tahun ini, seorang ahli perniagaan yang tidak dapat dilihat wajahnya didengar membincangkan terma pemulangan semula wangnya kerana lesen projek tersebut telah dibatalkan.
Difahamkan terdapat lebih banyak rakaman video juga melibatkan Adun-Adun lain daripada negeri itu.
[Baca berita asal]