Malaysia perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang bagi menghalang kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti yang dilaksanakan kerajaan Australia, menurut pengamal undang-undang.
Peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata kerajaan Malaysia sewajarnya menggubal, menyemak atau meminda undang-undang sedia supaya undang-undang seperti itu dapat memberi impak positif dalam membendung penggunaan platform media sosial dalam kalangan kumpulan umur terbabit.
"Hampir kesemua media sosial juga sebenarnya mempunyai umur minimum untuk seseorang itu membuka akaun. Jadi ia bukanlah sesuatu yang tidak munasabah sekiranya kerajaan kita memutuskan untuk melarang golongan berkenaan daripada menggunakan atau mengakses media sosial.
"Larangan ini perlu kerana golongan terlalu muda ini berisiko terpengaruh dengan pelbagai trend tidak berfaedah atau terperdaya dengan penyampaian maklumat tidak betul. Bayangkan, ada warga Malaysia yang sudah berusia pun boleh terpengaruh dengan pelbagai hantaran palsu di media sosial, apatah lagi jika hantaran sebegini dilihat atau dibaca oleh mereka yang bawah umur dan belum matang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada Khamis, Senat Australia telah meluluskan undang-undang melarang kanak-kanak dan remaja berusia 16 tahun ke bawah daripada menggunakan media sosial seperti TikTok, Instagram, Snapchat, Facebook, Reddit dan X, menjadikannya negara pertama di dunia mengambil langkah sedemikian.
Peguam itu berpendapat sekiranya terdapat undang-undang sedemikian di negara ini, golongan berkenaan bukan dihalang sama sekali daripada mengakses atau menggunakan sistem dalam talian sebaliknya banyak lagi perkara bermanfaat boleh dibuat menerusi capaian Internet yang tidak melibatkan media sosial.
Menurut Muhammad Akram, terdapat beberapa insiden pengguna media sosial berdepan kecelakaan disebabkan terpengaruh dengan trend disiarkan di media sosial dan dikhuatiri ada anak-anak muda yang mengalami nasib sama jika mereka dibiar menggunakan atau mengakses media sosial.
"Kekangan terhadap penggunaan media sosial ini juga berfungsi untuk menghalang kemusnahan adat dan budaya yang dilihat semakin serius. Anak-anak dibiarkan mengakses atau menggunakan media sosial ini tidak menghormati orang lebih berusia dalam pertuturan dan ada kalanya gagal mengawal emosi serta tantrum.
"Ada antara mereka mengalami kemurungan mungkin kerana penangan buli siber atau ejekan tubuh, ada yang menjadi biadab kerana terbiasa melihat atau diri sendiri melontarkan komen negatif di media sosial dan ada tidak boleh hidup tanpa media sosial, seolah-olah media sosial ini sudah menjadi ‘candu’ kepada kehidupan mereka," katanya.
Sementara itu, peguam Ahmad Fahmi Moin berkata setakat ini, tiada undang-undang khusus di Malaysia yang melarang kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun daripada melayari mana-mana platform media sosial.
"Saya percaya akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan berkaitan isu pornografi atau buli siber atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) cukup untuk mana-mana agensi kerajaan atau penguatkuasaan memantau dan mengenakan tindakan terhadap penyalahgunaan media sosial sama ada dalam kalangan kanak-kanak atau dewasa.
"Namun jika ada kajian dibuat mana-mana pihak antaranya golongan pakar, akademik, badan bukan kerajaan (NGO) yang melihat penggunaan media sosial memudaratkan atau memberi kesan buruk kepada kanak-kanak dan remajabawah 16 tahun, mungkin kerajaan kita akan ambil pendekatan seperti mana kerajaan Australia mengharamkan penggunaan media sosial bagi golongan tersebut," katanya.
Peguam Nizam Bashir pula berkata kerajaan Malaysia wajar mengambil ikhtibar dari perkembangan undang-undang di Australia dan memperkenalkan atau menyemak undang-undang sedia ada untuk mengawal dan menghalang golongan berkenaan daripada mengguna pakai media sosial tersebut.
"Undang-undang sedemikian sememangnya akan memberi sedikit impak terhadap hak asasi manusia, khususnya dari segi hak bersuara, tetapi sekiranya kawalan diperkenalkan adalah sederhana atau minimum, ia tidak akan melangkaui hak asasi dalam cara yang tidak berperlembagaan," katanya.