PARLIMEN | Ahli Parlimen PAS menganggap laporan yang mengatakan Muhyiddin Yassin melantik Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN itu hanyalah di peringkat cadangan.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaari berkata perkara itu belum disahkan memandangkan ia belum dibincangkan dalam mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi PN.
"Itu cadangan, belum sahkan lagi, macam mana nak sahkan mesyuarat belum lagi," katanya ketika ditanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Dia berkata demikian ketika ditanya media berhubung penerimaan PAS selepas Muhyiddin yang juga pengerusi PN mengumumkan pelantikan Azmin sebagai Setiausaha Agung PN.
Pengumuman itu dibuat melalui wawancara bersama Sinar Harian yang turut mengesahkan pelantikan Azmin sebagai Setiausaha Agung Bersatu.
Semalam Pemuda PAS mencadangkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baru.
Ketua pergerakan itu Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan perkara itu memandangkan Hamzah Zainuddin sudah diberi mandat baru sebagai Timbalan Presiden Bersatu.
Sementara itu pada sidang media sama Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid turut senada dengan Ahmad Marzuk dan menyatakan pelantikan setiausaha agung Bersatu akan diumumkan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu.
"Mesyuarat PN pada 9 hari bulan (Disember), saya rasa itu cadangan mungkin wartawan salah qoute. Kita tunggu selepas PAT," katanya yang juga wakil rakyat Bersatu.
Terdahulu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula menepis laporan media yang memetik sumber mengatakan PAS tidak setuju dengan pelantik Azmin.
"Itu (laporan) daripada mana? Musuh ke? Kalau (memetik) sumber, tak boleh. Sumber ni bisikan-bisikan syaitan," katanya.