Peguam hak asasi Eric Paulsen mengecam pengumuman kerajaan bahawa semua penyedia platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini mesti memohon lesen.
Dalam satu kenyataan ringkas di platform media sosial X, pengasas bersama dan penasihat Lawyers For Liberty (LFL) itu berkata bahawa dia menjangkakan langkah itu, yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan, akan terbuka kepada penyalahgunaan oleh pihak berkuasa.
“Lihatlah bagaimana Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman dan lain-lain telah disalahgunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Tidak ada sebab sama sekali untuk berfikir bahawa pelesenan/perundangan media sosial yang dicadangkan baharu ini juga tidak akan disalahgunakan,” kata Paulsen yang juga adalah bekas wakil Malaysia kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan Asean.
Dia mengulas kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengumumkan bahawa langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari, 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.
Ia akan dikuatkuasakan melalui Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Dalam mempertahankan langkah itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata keputusan itu adalah bagi mempertanggungjawabkan semua penyedia platform media sosial agar mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan komuniti.
Dia secara khusus berkata lesen berkenaan bertujuan mengekang peningkatan kes jenayah siber terutamanya jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan penipuan dalam talian di negara ini yang dilihat semakin membimbangkan.
Teo berkata sebanyak 360 kes seksual melibatkan kanak kanak menerusi media sosial direkodkan pada 2022 dan meningkat kepada 525 kes pada 2023 dan 288 kes dicatatkan dari Januari hingga Jun tahun ini.
Manakala, katanya, jumlah kerugian yang diakibatkan oleh penipuan dalam talian adalah RM453 juta pada 2022, meningkat kepada RM1.2 bilion pada tahun lepas manakala dari Januari hingga Jun ini, jumlah kerugian yang telah dicatatkan oleh pihak polis adalah RM637 juta.