Pemimpin mahasiswa minta KPT perjelas pindaan Auku

Shopee Sale

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) daripada pelbagai Universiti meminta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan penjelasan mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 terutama melibatkan autonomi pengurusan kewangan dan tempoh lantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Mereka melihat ketidakjelasan di dalam pindaan itu mengakibatkan pelbagai interpretasi sehingga memberikan implikasi terhadap salah guna kuasa.

Timbalan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMSU), Yuveraaj Pillai berkata beberapa pindaan yang dibuat dilihat masih kabur dalam agenda memperkasakan mahasiswa.

“Secara umumnya IIUMSU menyokong usaha KPT ke arah pemerkasaan mahasiswa, namun saya melihat terdapat beberapa pindaan secara zahirnya kelihatan tidak mencerminkan prinsip itu.

“Contohnya Seksyen 15 A memberikan kebenaran kepada kepada mahasiswa memungut wang serta Seksyen 48 (11) yang memberi kuasa kepada Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan Pelajar untuk menyenggara Kumpulan wang di dalam dan di luar universiti. Namun kita harus ingat MPP adalah entiti yang tidak berdaftar di bawah ROS.

“Maka mereka tidak boleh membawa masuk wang tajaan ke dalam akaun bank mereka melainkan akaun bank itu akan berada di bawah nama universiti. Kami bimbang jika perkara ini berlaku maka pihak pentadbiran akan masuk campur urusan kewangan mahasiswa,” katanya Ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, RUU Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 telah diluluskan di Dewan Rakyat setelah dibentang bagi bacaan kali kedua dan digulung oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dihdapan 22 Ahli Parlimen.

Antara fasal yang dipinda adalah:

1. Penambahbaikan kepada Seksyen 15A AUKU yang memberikan kebenaran kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar untuk memungut wang.

2. Pindaan ke atas Seksyen 48(4) Jadual Pertama AUKU, memberi kuasa Pihak pentadbiran Universiti iaitu Lembaga untuk memendekkan dan memanjangkan tempoh lantikan MPP menguruskan tempoh pelantikan MPP.

3. Pindaan Seksyen 48(11) akta berkenaan pula membenarkan MPP menyenggara kumpulan wang di dalam dan di luar universiti

Yuveraaj menambah walaupun Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abdul Kadir, memberikan penjelasan bahawa kuasa lembaga untuk memendekkan dan memanjangkan tempoh MPP dibuat atas dasar kebimbangan jika berlaku peristiwa luar jangka seperti Covid-19, namun perkara ini tidak dinyatakan jelas dalam pindaan AUKU.

“Dalam pindaan, secara umum memberikan kuasa kepada lembaga untuk berbuat demikian, tidak dinyatakan secara spesisfik akan keadaan-keadaan yang memerlukan lembaga bertindak demikian,” jelasnya.

Sementara itu Yang Dipertua Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Syahril Ahmad Sofian menegaskan kuasa memendekkan dan memanjangkan tempoh MPP seharusnya berada di bawah kuasa Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus.

“Saya merasakan lebih adil sekiranya bidang kuasa ini diberikan kepada badan mahasiswa sendiri yang bebas dari unsur-unsur berat sebelah,”katanya.

MENARIK:  Orang Asli: Pindaan kewarganegaraan sukarkan lagi keadaan kami

Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Nazirah Abdullah pula menyuarakan kebimbangan bahawa keadaan ini akan disalahgunakan oleh lembaga untuk menyingkirkan mana-mana perwakilan yang melawan pihak atasan.

“Saya bimbang dengan kuasa yang ada, mereka akan menghukum mana-mana perwakilan mahasiswa yang bersifat radikal akan segera dihukum dengan dipendekkan tempoh lantikan mereka,” katanya.

Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM), Iman Azhar melihat pindaan ini masih lagi tidak membawa perspektif baru apabila mahasiswa masih lagi tidak dilibatkan dalam urusan pentadbiran seperti lembaga dan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.

“Menurut saya wakil mahasiswa harus ada dalam lembaga dan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar supaya segala keputusan akan diambil kira pandangan mahasiswa,” katanya.

Iman turut mencadangkan kerajaan segera melaksanakan sesi libat urus bersama universiti awam bagi menjelaskan isu-isu pindaan yang menimbulkan pelbagai intrepertasi.

Dia turut menambah mekanisme pelaksanaan pindaan AUKU ini harus diselarikan oleh kesemua IPTA.

Terdahulu, pindaan Auku ini menimbulkan polemik kerana ia tidak melibatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Amir Nur Rashid menyeru agar pihak Universiti segera meminda Akta Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Akta 173 agar selari dengan Pindaan AUKU.

“UiTM adalah universiti yang mempunyai cawangan paling banyak sekali di Malaysia, sudah tentu UiTM harus bergerak seiringan dengan semangat pemerkasaan mahasiswa di dalam AUKU agar impaknya dirasai oleh majoriti pelajar,” katanya.

Presiden Universiti of Malaya Association of New Youth (UMANY), Ten Kang Yeaw berkata pindaan ini tidak seharusnya menghentikan perjuangan pemerkasaan mahasiswa kerana ada banyak isu dalam pindaan ini seakan-akan menyekat perubahan ke arah itu.

Dia berkata tujuan akhir perjuangan pemerkasaan mahasiswa harus konsisten ke arah pemansuhan AUKU dalam jangka masa panjang.

"Kami meminta KPT untuk mewujudkan kembali Jawatankuasa Pemansuhan AUKU yang ditubuhkan pada 2018 dengan menyemak dan menambah baik laporan yang telah dikeluarkan pada tahun 2020," katanya.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular