Seorang pemimpin PAS mempertahankan dirinya yang memiliki beg tangan mewah Louis Vuitton (LV) selepas dikecam kerana mendakwa ada rakyat Malaysia mati kelaparan ekoran kurangnya bekalan beras tempatan di bawah kerajaan Madani.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Melaka Hawa Yaakub berkata demikian selepas laman parodi, Harakatdaily memuat naik gambarnya membawa beg tangan LV dan berkata dia sanggup menjualnya demi membantu rakyat yang kesusahan.
Dalam ciapan di X, Hawa berkata sampai bila penyokong kerajaan ingin “menjawab” semua isu yang dibangkitkan dengan merujuk beg tangan itu.
“Sampai berapa tahun lagi anda nak jawab semua isu dengan LV?
“Kenaikan harga diesel - LV, rakyat mati kelaparan - LV, kekurangan beras tempatan - LV, Blackrock - LV, afterparty - LV, bir Tiger - LV.
“Tolong cari idea lain. Sekurang-kurangnya biarlah elaun anda berbaloi,” ciapnya.
Dia juga membayangkan beg tangan itu lebih murah berbanding helikopter dan kereta Bentley.
Dia merujuk tindakan pemimpin BN menaiki helikopter ke Nenggiri ketika PRK baru-baru ini, serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menaiki kereta Bentley yang disediakan kerajaan Sarawak ketika berkunjung ke sana.
‘Bukan guna duit rakyat’
Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyangkal dakwaan Hawa tersebut, menyifatkannya sebagai melampau dan kurang cerdik.
Dia juga menggesa Hawa agar menghantar senarai rakyat yang memerlukan bantuan kepadanya.
Mengulas lanjut, Hawa berkata nama laman parodi itu, iaitu Harakatdaily sendiri menggunakan populariti PAS, dengan merujuk namanya yang merupakan parodi kepada lidah rasmi parti itu, Harakahdaily.
Dia juga mengecam mereka yang menyerangnya tanpa mengetahui siapa yang membelikan beg itu.
“Apa yang paling penting adalah orang yang belinya tak guna duit pembayar cukai,” katanya lagi.