Seorang pemimpin DAP membidas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan PKR dan Amanah hanya penumpang dalam kerajaan perpaduan.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Lee Chin Chen menyifatkan kenyataan Nur Jazlan sebagai usaha dari dalam Umno untuk menyemai perpecahan antara parti dalam PH.
Menyifatkan pandangan Nur Jazlan sebagai tak berasas, Lee menegaskan setiap kemenangan yang diraih PH adalah hasil kerja keras semua parti komponennya.
“Setiap kemenangan yang dicapai oleh PH adalah hasil kerjasama erat antara parti-parti sekutu, bukan hasil usaha satu parti semata-mata.
“Sebagai contoh, dalam PRK Pulai tahun lalu, kerjasama erat antara PH dan BN membawa kemenangan besar dengan majoriti yang signifikan. Ini jelas membuktikan kepentingan kerjasama antara parti.
“Saya menggesa Nur Jazlan agar berhenti daripada membuat kenyataan bersifat memecah-belahkan dan bersikap ikhlas dalam bekerjasama dengan parti komponen PH demi menjaga kestabilan dan perkembangan kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Analogi judi
Terdahulu hari ini, Nur Jazlan yang juga timbalan pengerusi BN Johor menyindir PKR dan Amanah yang didakwa menuntut banyak jawatan kerajaan walaupun memegang kerusi yang lebih sedikit.
Menggunakan kiasan, Nur Jazlan berkata hanya Umno, DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang boleh dianggap mempunyai kemahiran dan pengalaman untuk duduk di meja poker.
"Bagi saya hanya Umno, DAP dan GPS saja yang boleh diibaratkan sebagai pemain poker profesional yang tahu bila nak “bluff,” bila nak “raise" dan bila nak ambil risiko.
“(PKR dan Amanah) mereka patut tak boleh duduk di meja poker. Biarlah saya cakap terus terang; bukan setakat dalam politik di nasional saja, di peringkat politik Johor pun Amanah dan PKR kurang layak duduk semeja main poker politik ni.
"Mereka hanya sesuai duduk depan mesin kuda atau main roulette saja, sebab mereka mengharapkan nasib baik dan kekalahan lawan sahaja dan bukan kekuatan jentera parti atau strategi," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Namun Lee mengingatkan Nur Jazlan yang DAP, PKR dan Amanah telah menjalin “persahabatan dan kepercayaan yang mendalam melalui perjuangan yang panjang”.
“Kami pernah berjuang bersama-sama pada waktu yang paling sukar, menghadapi cabaran dan dugaan seumpama berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
“Perasaan dan kepercayaan yang terjalin ini tidak akan mudah digoyahkan oleh hasutan dari luar,” katanya lagi.
Senada dengan Lee adalah Pengarah Strategi PKR Johor Arthur Chiong Sen Sern yang menyifatkan Nur Jazlan semakin tidak relevan dalam politik negara.
Chiong berkata PKR dan Amanah merupakan rakan kongsi penting dan memberi sumbangan siginifikan dalam peranancangan dasar, pentadbiran dan pembangunan negara.
“Kerajaan perpaduan menunjukkan kita mampu mengenepikan perbezaan politik demi kepentingan negara dan kenyataan tidak berasas seperti ini tidak akan mempengaruhi usaha kami dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran Malaysia,” katanya dalam kenyataan.