Pemuda MCA: Dedah perkembangan siasatan kontrak suami menteri

Shopee Sale

Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung menggesa SPRM mendedahkan perkembangan siasatannya berhubung pemberian kontrak transit responsif atas permintaan (DRT) kepada syarikat yang diasaskan bersama suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Dalam satu kenyataan hari ini Saw mengingatkan SPRM bahawa pada 6 Jun, kumpulannya telah menyerahkan memorandum meminta siasatan berhubung projek perintis yang dianugerahkan oleh kerajaan Selangor kepada Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), sebuah syarikat yang dikaitkan dengan suami Yeoh, Ramachandran Muniandy.

Pemilik bersama syarikat itu ialah pengarah dan bekas ketua pagawai eksekuti (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran.

“Kini, selepas dua bulan, sayap Pemuda MCA menyeru SPRM untuk mendedahkan perkembangan siasatan.

“Kes ini amat penting kepada kredibiliti dan integriti kerajaan perpaduan.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah berulang kali mengutuk rasuah, melarang kontrak kerajaan diberikan kepada saudara-mara pegawai tinggi, dan mengkritik nepotisme dan kronisme.

“Oleh itu, SPRM perlu mendedahkan secara aktif hasil siasatan untuk penelitian awam,” kata Saw.

Selain meminta siasatan terhadap Asia Mobiliti, ketika menyerahkan memorandum itu dua bulan lalu, Saw turut menggesa SPRM menyiasat mengapa kerajaan Selangor melaksanakan projek DRT.

Memetik laporan media sebelum ini, dia mendakwa pelaksanaan projek DRT tidak berkesan, mengambil masa terlalu lama, dan mengeluarkan kos yang tinggi.

Pada mulanya, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menolak keperluan untuk menyiasat isu Asia Mobiliti kerana Yeoh tidak terlibat dalam proses membuat keputusan.

Bagaimanapun, siasatan kemudiannya dilancarkan selepas SPRM memperoleh "petunjuk baru".

SPRM menyiasat kemungkinan salah guna kuasa dan tidak mematuhi arahan Perbendaharaan oleh kerajaan Selangor dalam menganugerahkan projek DRT.

Yeoh mengalu-alukan siasatan itu dan berkata dia berdiam diri agar tidak dilihat sebagai mengganggu siasatan.

Asia Mobiliti bersama sebuah lagi syarikat, BadanBas Coach Sdn Bhd, telah dianugerahkan projek DRT Lembah Klang melalui anugerah terus oleh kerajaan negeri Selangor.

Menurut Saw, SPRM kini sepatutnya memberikan maklumat terkini mengenai siasatan itu.

"Perkhidmatan Mobi DRT oleh BadanBas Coach telah berhenti beroperasi pada 21 Julai, dan Trek Rides Asia Mobiliti berakhir pada 31 Julai.

“Bagaimanapun, laporan siasatan SPRM belum ada.

"Perasaan ingin tahu orang ramai semakin meningkat tentang berapa ramai penduduk Selangor telah mendapat manfaat daripada pembiayaan yang besar ini untuk projek perintis yang dikatakan berlangsung sembilan bulan," katanya.

MENARIK:  Siasatan kes Fashion Valet dijangka selesai 2 minggu lagi - Azam

Saw menambah, Pemuda MCA akan terus memantau kes itu dan menggesa SPRM menunaikan tugasnya bagi memastikan keadilan dan ketelusan dalam siasatan.

“Kami berharap SPRM akan bertindak balas segera terhadap jangkaan orang ramai dan memberikan penjelasan yang jelas mengenai perkembangan siasatan," katanya.

Transit responsif atas permintaan menggabungkan pengangkutan awam tradisional dengan teknologi e-hailing. Ringkasnya, DRT membolehkan pengguna menempah perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas atau van melalui aplikasi telefon mudah alih.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) mengeluarkan notis awam untuk mana-mana syarikat yang berminat untuk mendaftar untuk menjalankan ujian bukti konsep pada 1 Sept 2022.

Untuk rekod, Presiden MCA Wee Ka Siong adalah menteri pengangkutan dari Mac 2020 hingga November 2022. Anthony Loke dari DAP dilantik sebagai menteri pengangkutan pada Disember 2022.

Sehingga Mei 2024, hanya tiga syarikat telah mendaftar selepas memenuhi kriteria bukti konsep yang ditetapkan oleh Apad.

Apad meluluskan pendaftaran Asia Mobiliti pada 22 Dis 2022 manakala BadanBas Coach menerima kelulusannya pada 24 Feb 2023. Apad berkata Kumpool mula mengendalikan projeknya pada 30 Nov 2023.

Premesh menolak dakwaan nepotisme dan berhujah tender terbuka tidak sesuai kerana hanya terdapat dua syarikat dengan pendaftaran Apad yang diperlukan untuk menyertai percubaan bukti konsep oleh kerajaan Selangor.

Dia juga berkata kritikan itu kurang mengenai kecekapan Asia Mobiliti tetapi serangan terhadap "seorang ahli politik yang melakukan kerja yang baik, dengan menyerang suaminya".

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular