Ketua Pemuda MCA Selangor Tan Jie Sen membidas Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi kerana mengumumkan bahawa BN tidak akan bertanding di kerusi DUN Kuala Kubu Bharu di Selangor tanpa berunding dengan rakan-rakan sekutu BN.
Akhbar Oriental Daily, memetik Tan sebagai membidas Zahid kerana membuat keputusan untuk BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan rakan-rakan dalam gabungan itu.
Tan berkata ini menunjukkan sikap angkuh dan kurang hormat Zahid terhadap parti bersekutu.
Oleh itu, dia mencadangkan supaya MCA bertanding secara bebas pada PRK Kuala Kubu Bharu, dengan tujuan untuk menang dan seterusnya menjadi "pembangkang di DUN Selangor".
“Memandangkan kerajaan Madani gagal bertindak baru-baru ini dalam pelbagai isu, jelas sekali pembangkang yang lebih kuat diperlukan untuk memperjuangkan hak masyarakat Cina, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Tan seterusnya mengetengahkan pelbagai isu, mengkritik ahli parlimen DAP dan Adun mereka kerana didakwa gagal mempertahankan kepentingan masyarakat Cina.
Isu-isu ini termasuk insiden seperti kontroversi bak kut teh, isu KK Mart, desakan untuk memansuhkan sekolah Cina, dan terbaru melibatkan pengharaman tong membakar barangan sembahyang Cina di kawasan perumahan di Klang.
“Walaupun MCA adalah sebahagian daripada kerajaan Madani sekarang, kami tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan negeri Selangor.
"Justeru, kenapa tidak MCA mengikut jejak langkah DAP Sarawak dan berperananan sebagai 'pembangkang' dalam kerajaan negeri?" soalnya.
Tan juga meluahkan harapannya agar kepimpinan pusat MCA mengambil bahagian secara aktif dan bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri yang akan datang, bertujuan untuk mendapatkan lebih banyak kerusi parlimen dan negeri bagi mewakili masyarakat Cina.
Ketika dihubungi, Pengerusi MCA Selangor Laurence Low berkata dia akan memaklumkan kepada media apabila MCA membuat keputusan mengenai pencalonan PRK Kuala Kubu Bharu.
Kerusi Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP meninggal dunia pada 21 Mac lalu.
Pada 22 Mac lalu, Ahmad Zahid mengumumkan BN tidak akan bertanding merebut kerusi berkenaan dan sebaliknya akan menyokong calon yang diletakkan kerajaan perpaduan.
Lee kali pertama, dilantik sebagai Adun Kuala Kubu Bharu pada 2013. Dia kemudiannya berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2018 dan 2023.
Pada pilihan raya 2013 dan 2018, lawan utama mendiang adalah calon MCA yang mewakili BN.
Bagaimanapun, BN tidak bertanding di kerusi itu pada pilihan raya negeri Selangor 2023, kerana telah menjalin hubungan kerjasama dengan Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum 2022.
Kuala Kubu Bharu pernah menjadi kubu kuat BN dan MCA. Bagaimanapun, kemenangan terakhir MCA di kerusi itu adalah pada 16 tahun lalu, iaitu pada pilihan raya 2008.
Mengikut susunan kerajaan perpaduan hari ini, parti yang menang akan diturunkan untuk mempertahankan kerusi mereka dalam pilihan raya.
Dengan MCA hanya memegang dua kerusi parlimen dan tujuh kerusi DUN ketika ini, peluangnya untuk bertanding di majoriti kerusi tradisinya pada pilihan raya akan datang adalah tipis.