Bung Moktar Radin menyifatkan gesaan Ketua Pemuda PBS, Cristopher Mandut agar dia meletakkan jawatan sebagai pengerusi Umno Sabah sebagai "sesat di jalan yang terang".
Kata Bung, bukan dia yang patut meletak berundur kerana jawatan ketua menteri Sabah disandang oleh Hajiji Noor.
"Dia (Cristopher) sesat di jalan yang terang, sebab rakyat minta supaya ketua menteri berhenti, bukan pengerusi parti.
“Kalau pengerusi GRS, sampai mati pun dia peganglah.
"Tapi ini jawatan ketua menteri, Umno minta supaya dia (Hajiji) berhenti, bukan ketua parti. Saya hanya ketua parti.
"Itu ketua pemuda GRS, suruh dia belajar dululah. Jangan main politik kalau tak ada akal," katanya sebelum beredar sambil ketawa.
Semalam, Mandut meminta Umno Sabah untuk "melihat diri di hadapan cermin" selepas sayap pemudanya meminta Hajiji berundur susulan dakwaan rasuah.
Ketua Pemuda PBS itu menegaskan Bung dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad juga terpalit dalam kes rasuah berkaitan pelaburan Felcra Bhd.
"Jika Sabah Umno mendesak pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meletakkan jawatan, pengerusi mereka sendiri juga seharusnya berundur bagi membolehkan siasatan yang telus dan bebas dijalankan ke atas dakwaan rasuah beliau,” katanya dalam satu kenyataan.
Gesaan agar Hajiji berundur juga datang daripada Umno pusat menerusi Ketua Pemudanya, Akmal Saleh.
Akmal berkata Hajiji perlu berundur sekiranya SPRM percaya ada merit dalam dakwaan rasuah terhadap ketua menteri Sabah itu atau anggota pentadbirannya.
Hajiji dan anggota pentadbirannya menjadi tumpuan selepas seorang pemberi maklumat mengeluarkan beberapa video yang didakwa mengandungi perbincangan beberapa orang Adun berbeza berhubung dakwaan rasuah yang diberikan kepada mereka untuk mendapatkan lesen carigali mineral.
Semalam, ketua menteri itu sekali lagi menafikan dakwaan rasuah itu dan menyifatkannya sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri dan mencemarkan nama baiknya.
Sebelum ini, Umno Sabah menafikan mempunyai kaitan dengan pemberi maklumat berkenaan.