Penganalisis: Amanah patut jadi parti PH yang juarai isu Melayu

Shopee Sale

Pendekatan Amanah yang bersifat progresif dan ke tengah dilihat kurang praktis dalam iklim politik Malaysia pada hari ini walaupun secara idealisnya ia nampak cantik, kata penganalisis dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd Yusri Ibrahim.

Menurutnya berdasarkan demografi pembahagian kerusi sesama PH, kawasan lingkaran Melayu-Islam diberikan kepada Amanah, justeru ia harus menjadi 'juara' buat kaum terbabit.

“Amanah perlu menjadi parti komponen PH yang menjuarai isu-isu berkaitan orang Melayu,” katanya kepada Malaysiakini.

Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi UMT itu sebelum ini menulis hantaran di media sosial dengan mempersoalkan kegagalan PH menarik undi Melayu di Sungai Bakap bagi memenangkan calon kerajaan, Joohari Ariffin.

Kata Mohd Yusri, PH seolah-olah menyerahkan tugas tersebut kepada Umno semata-mata sedangkan pakatan dengan parti berkenaan hanya bersifat sementara demi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong selepas PRU lalu.

Tugas menarik sokongan Melayu kepada PH, katanya, patut dilaksanakan oleh Amanah dan ia perlu dibentuk sebagai parti bernuansa Melayu-Islam dalam PH.

Mohd Yusri Ibrahim

“Jika tidak boleh memperkuatkan segmen Melayu-Muslim, apa fungsi kewujudan Amanah dalam PH?” katanya.

Mohd Yusri turut membandingkan gerak kerja daripada Amanah dengan Umno yang dilihatnya tenggelam serta hanya sekadar jentera dan tukang ceramah.

“Sepanjang kempen PRK Sungai Bakap, Umno berusaha untuk mendampingi lebih 5,000 ahli mereka.

"Tidak pula dilaporkan secara meluas berapa orang pula ahli Amanah dalam DUN berkenaan,” katanya.

Akur pada arahan PKR

Mengulas pandangan tersebut, Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof, memberitahu Malaysiakini kritikan Mohd Yusri yang hanya menilai dari sudut penganalisis dalam bilik dan melihat apa yang terpapar.

Menurutnya, tidak masuk akal untuk membandingkan keberadaan Amanah dengan Umno di Sungai Bakap.

“Umno sudah lama berpuluh tahun bertapak di negara ini, sedangkan kami baru sahaja lapan tahun.

“Sudah tentu jumlah ahli akar umbi mereka jauh besar daripada kami,” katanya.

Namun, jelas Mujahid, apa yang penting ialah akar umbi Amanah yang tidak lebih daripada 500 orang di Sungai Bakap sudah memberikan undian kepada PH.

Mujahid Yusof

Mujahid juga menafikan dakwaan jentera pilihan raya Amanah tenggelam dalam gerak kerja mereka di Seberang Perai Selatan baru-baru ini.

Katanya Amanah tidak menonjol kerana ahli-ahlinya sentiasa bergerak secara bersama dengan parti dalam kerajaan.

“Kami patuh dan akur atas segala arahan yang diberikan oleh PKR,” katanya.

Dari sisi yang lain pula, kata Mujahid, mungkin Umno kelihatan gah oleh Mohd Yusri kerana mereka bergerak sendirian dengan memberi fokus akan akar umbi mereka.

MENARIK:  Polis: Kes serangan ke atas OKU masih disiasat, tak ditutup

“Kami Amanah sentiasa turun bertemu pengundi dan mengadakan program kenduri dengan penduduk kampung,” katanya.

Pendekatan yang sederhana

Mantan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menegaskan Amanah akan konsisten menjadi parti Islam yang inklusif dengan membawa agenda Rahmatan Lil Alamin.

“Anda tidak boleh harapkan naratif Melayu kami sama dengan Umno dan PAS. Melayu yang ingin diangkat oleh kami ialah Melayu yang didasari nilai dan akhlak Islam,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata tanggungjawab meredakan sentimen Melayu adalah tugas seluruh parti komponen dalam PH.

“Hal ini kerana kita (PH) bergerak dalam satu pakatan. Persepsi buruk yang digarap oleh musuh merujuk kepada seluruh kerajaan PH, bukan Amanah saja,” katanya kepada Malaysiakini.

Faiz menambah PH sebagai pakatan bersama harus menangkis sentimen-sentimen pembangkang melalui rekod pentadbiran yang menjaga kebajikan orang Melayu serta sentiasa menambah peruntukan untuk Islam seperti yang dilakukan Pulau Pinang.

Faiz Fadzil

Pada masa sama dia juga kurang bersetuju terhadap dakwaan Amanah tidak mampu dalam menarik undi orang Melayu agar menyokong kerajaan.

“Kami masih mampu menarik undi penduduk Kelantan di DUN Kota Lama di Kelantan.

“Saya percaya kami masih boleh menarik sokongan orang Melayu dengan pendekatan Islam kami yang lebih sederhana,” katanya.

Faiz turut optimis bahawa faham ekstrem dalam kalangan orang Melayu boleh dileburkan dengan tadbir urus baik daripada kerajaan perpaduan yang turut merupakan prinsip Amanah.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular