Penyewa PPR culas bayar sewa beri impak pembangunan sosial

Shopee Sale

Masalah tunggakan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dilihat kian meruncing sejak belakangan ini, mendatangkan natijah buruk kepada penduduk perumahan itu sendiri.

Tanpa sumber kewangan yang stabil akibat kegagalan penghuni membayar sewa mereka, agensi pengurus perumahan itu mungkin tidak mampu menyediakan persekitaran yang selesa buat penduduk seperti memastikan lif berfungsi dengan baik.

Akan tetapi, “selesa” duduk secara percuma lantaran tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berwajib ke atas mereka yang culas membayar sewa, membuatkan masalah ini terus berlarutan.

Sedar akan hakikat itu serta implikasi kewangan ke atas kerajaan yang ditanggung selama ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberitahu Bernama yang ia berhasrat mengambil pendekatan lebih proaktif, termasuk menggubal undang-undang baharu yang akan memberi situasi menang-menang kepada penyewa dan juga agensi pengurus PPR.

Tanggung kos

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh Bernama kepadanya, KPKT mengakui sikap culas penghuni PPR membayar sewa menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan bagi menyelia dan menyelenggara kemudahan yang disediakan di perumahan itu.

“Penyediaan PPR pada dasarnya adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendiami rumah yang selesa. Justeru, program perumahan ini hanya mengenakan kadar sewa minimum berbanding kadar sewa perumahan lain yang jauh lebih tinggi.

“… apabila berlaku pula tunggakan sewa, kerajaan terpaksa mengeluarkan dana berasingan bagi tujuan penyelenggaraan perumahan itu termasuklah pembaikan lif, dan keadaan ini juga akan memberi kesan kepada hasil kerajaan,” jelas KPKT dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

Untuk rekod, sebanyak RM500 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12, bagi menyelenggara serta membaik pulih perumahan awam berstrata di seluruh negara yang turut merangkumi PPR, melalui Program Penyelenggaraan Perumahan.

Menurut KPKT lagi, setakat Disember tahun lalu, terdapat 161 PPR telah siap dibina di seluruh negara, dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 projek diselia sepenuhnya oleh kementerian berkenaan.

Yang lain diuruskan secara langsung oleh kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Daripada 21 PPR yang diselia oleh KPKT ini, hanya dua buah yang ditawarkan di bawah skim PPR sewa manakala selebihnya di bawah skim PPR dimiliki.

“Berdasarkan data kutipan sewa dua PPR ini pula, iaitu PPR Pasir Mas di Kelantan dan PPR Lembah Subang 1 di Selangor, jumlah tunggakan yang direkodkan setakat ini adalah sekitar RM12 juta,” kata kementerian itu.

Skim PPR sewa diperkenalkan pada Februari 2002 bagi memenuhi keperluan penduduk setinggan yang ditempatkan semula serta golongan berpendapatan rendah.

Dikenakan tindakan

Menurut KPKT, pihaknya boleh menamatkan perjanjian penyewaan perumahan itu jika penghuni PPR berkenaan gagal atau culas dalam melunaskan bayaran sewa.

“Bagi perjanjian penyewaan di bawah PPR seliaan KPKT, terma melibatkan obligasi penyewa serta penamatan penyewaan jelas dinyatakan, iaitu jika penyewa gagal menjelaskan kadar sewa tiga bulan berturut-turut atau pada satu-satu masa, KPKT perlu memberikan notis (peringatan), dan sekiranya masih gagal menyelesaikan (tunggakan) dalam tempoh yang ditetapkan, perjanjian penyewaan tersebut boleh ditamatkan,” jelas kementerian itu.

MENARIK:  Dakwaan tipu MOF: Semak semula kontrak Spanco, kata MP Kepong

Akan tetapi, KPKT berkata sebarang tindakan drastik yang boleh menjejaskan penghuni perlu diteliti dengan mengambil kira banyak aspek memandangkan golongan yang mendiami PPR adalah kelompok rentan yang kebanyakannya mempunyai masalah sumber pendapatan.

Dalam pada itu, KPKT sedang meneliti keperluan memasukkan skop perumahan awam termasuk PPR dalam Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman yang sedang digubal.

“KPKT akan meneruskan sesi libat urus dengan pihak berkaitan bagi memuktamadkan draf rang undang-undang ini, khususnya dari segi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang itu.

“Maklum balas dan pandangan yang diterima hasil libat urus ini akan diambil kira dalam menambah baik draf perundangan ini agar kepentingan semua pihak dipelihara,” tambah KPKT.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata perundangan yang sedang digubal itu bersifat neutral dan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak, iaitu pemilik dan penyewa.

Perundangan ini akan melindungi kepentingan serta hak penyewa dan pemilik kediaman yang ketika ini hanya dilindungi melalui Akta Kontrak 1950 yang bersifat umum dan tidak menyeluruh.

Dasar komuniti negara

Selain mengambil tindakan tegas atau undang-undang terhadap penduduk culas bayar sewa, kerajaan juga melaksanakan program berbentuk intervensi seperti mengupayakan komuniti dengan aspek kesihatan dan keselamatan, memupuk perasaan keterangkuman (sense of ownership) dan semangat kejiranan seperti hormat-menghormati sesama sendiri.

“Ini termasuk melaksanakan Dasar Komuniti Negara (DKomN) yang bertujuan menangani isu-isu perumahan di peringkat komuniti setempat, khususnya di kawasan perumahan strata di seluruh negara.

“Menerusi program ini, pada tahun lalu, semua bakal penghuni PPR perlu menghadiri kursus kesedaran sivik yang bertujuan meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan penghuni, meningkatkan tanggungjawab dalam aspek kebersihan persekitaran, penyelenggaraan dan penggunaan harta bersama di PPR,” kata KPKT.

Pada masa sama, kementerian turut mengingatkan penghuni agar melaksanakan tanggungjawab memastikan sewa bulanan dijelaskan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Penghuni seharusnya mematuhi syarat yang telah dipersetujui dalam perjanjian penyewaan perumahan berkenaan.

“Setiap penyewa perlu sedar bahawa mereka merupakan golongan yang mendapat banyak manfaat daripada inisiatif ini, dengan kerajaan telah membelanjakan sejumlah besar (peruntukan) subsidi bagi membangunkan perumahan ini,” tegas KPKT.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular