Kerajaan Terengganu menegaskan persembahan hiburan oleh artis bukan Muslim melibatkan menonton lelaki dan wanita bukan Muslim di negeri itu hanya dibenarkan berlangsung secara tertutup, kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Dia tampil menjelaskan susulan tindakan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan Tokong Guan Di untuk menghentikan sebarang persembahan penyanyi wanita semasa majlis sambutan yang diadakan antara 29 Julai dan 2 Ogos lalu.
"Berdasarkan garis panduan hiburan negeri Terengganu, persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang melibatkan artis wanita hanya dibenarkan kepada penonton wanita sahaja. Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada persembahan artis lelaki dan artis wanita untuk penonton bukan Muslim.
"Memandangkan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang dimohon oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than membabitkan penonton lelaki dan wanita di khemah terbuka dalam kawasan yang terbuka di kawasan kuil tersebut, orang yang lalu lalang dapat melihat persembahan tersebut.
"Maka persembahan seperti ini tidak dianggap sebagai khusus untuk bukan Islam dan pemakaian garis panduan umum untuk melarang artis wanita adalah terpakai," katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.
Terdahulu Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menyoal kerajaan Terengganu berhubung keputusan MBKT melarang penyanyi wanita membuat persembahan pada acara keagamaan yang dianjurkan di tokong berkenaan.
Ia selepas China Press melaporkan dakwaan kuil itu telah menerima arahan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), melarang penyanyi wanita membuat persembahan pentas.
MBKT didakwa menambah peruntukan baru dalam permitnya untuk persembahan hiburan bagi melarang penyanyi wanita.
Wan Sukairi berkata, pemakaian garis panduan tersebut adalah secara menyeluruh tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak dan ia adalah garis panduan umum bagi aktiviti hiburan bagi maksud Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 Negeri Terengganu.
Jelasnya, kerajaan negeri tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada mana-mana pertubuhan yang mewakili pelbagai segmen sama ada kebudayaan, warisan dan agama untuk mengadakan program selagi mengikut garis panduan.
"Berkenaan dengan isu yang tular saya ingin terangkan bahawa permohonan daripada Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than diterima MBKT pada 20 Jun 2024 untuk memohon permit bagi upacara keagamaan dan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni sempena ulang tahun kuil Kwan Tee Than pada 29 Julai hingga 2 Ogos.
"MBKT telah meluluskan permohonan yang dikemukakan tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than termasuk bagi persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni perlu mengikuti garis panduan hiburan negeri Terengganu," katanya yang juga Adun Wakaf Mempelam.