Pertahan kolam takungan banjir Kg Bohol: ‘Jangan tambah derita kami’

Shopee Sale

Dalam keadaan sekarang kolam takungan banjir Kampung Bohol, Kuala Lumpur, semakin cetek, sekali gus tidak mampu menampung limpahan hujan lebat menyebabkan banjir di kawasan sekelilingnya.

Ia terletak bersempadan antara kawasan Puchong, Selangor dan Seputeh, Kuala Lumpur.

Sudah terbukti beberapa kali kawasan kependudukan berkepadatan tinggi itu dilanda banjir pada Julai 2020, Mac dan Mei 2022 dan Disember 2023.

Hari ini, lebih 100 penduduk tampil menyatakan kebimbangan dan bantahan selepas mengetahui kawasan kolam takungan itu bakal dibangunkan dengan projek-projek perumahan baru.

Mereka membentuk jawatankuasa Gabungan Memelihara Kolam Takungan Banjir Kg Bohol, yang terdiri daripada 35 persatuan penduduk, rumah ibadah dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meneruskan usaha agar projek perumahan didakwa dirancang kerajaan itu dibatalkan.

Jawatankuasa itu berkata pihaknya mendapat maklumat kerajaan meluluskan penggunaan enam plot tanah bersebelahan kolam takungan Kg Bohol untuk membina 5,000 unit projek perumahan yang padat dan tinggi.

“Kami dengan tegasnya menentang rancangan ini dan sebarang projek yang akan menukar tanah rekreasi bersebelahan kolam takungan banjir Kg Bohol sebagai perumahan kepadatan tinggi.

“Projek perumahan ini bersempadan dengan kawasan Puchong, Selangor akan memburukkan lagi kesesakan trafik. 

“Kenapa projek yang kepadatan tinggi ini diluluskan secara senyap tanpa konsultasi dengan ahli parlimen, anggota dewan

undangan negeri (Adun) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)?” soalnya dalam kenyataan bersama, hari ini.

Tambah kenyataan itu, mereka dimaklumkan pemaju terlibat merancang untuk menaik taraf kolam takungan banjir untuk menahan purata ulangan (ARI) 100 tahun.

Namun jelasnya ia tidak mencukupi malah dakwa mereka sebelum ini Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah merancang untuk menaiktaraf sistem pengurusan banjir kepada ARI 200 tahun.

“Adalah penting bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mematuhi piawaian yang ditetapkan dengan menaiktaraf kolam takungan banjir Kg Bohol kepada ARI 200 tahun.

“Selepas pemaju siap membina projek perumahan di sekeliling kolam takungan itu, kapasiti kolam akan kekal selama-lamanya. 

“Ini akan meletakkan kawasan kediaman sekitar Kinrara, Puchong berisiko banjir lebih besar di masa akan datang,” kata jawatankuasa berkenaan.

Sebelum ini media mendedahkan notis tender dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWP) baru-baru ini, yang menawarkan bidaan untuk mereka bentuk dan menaik taraf kolam takungan banjir Kg Bohol seluas 63.45 hektar untuk pemberian milik mengikut Seksyen 76 Kanun Tanah Negara ( Akta 828).

PTGWP didakwa menerbitkan notis tender di laman webnya menawarkan syarikat pemaju mengemukakan bidaan bagi projek itu bagi memudahkan pembinaan projek perumahan besar-besaran. 

Enam bidang tanah seluas 10.85 hektar sedang diberi milik di Lot 102996 untuk projek pembangunan.

Dah fobia dengan banjir

Seorang penduduk PPR Kampung Muhibah dikenali sebagai Saniah (bawah), 60-an, meluahkan rasa kesal dan bimbang sekiranya projek berkenaan diteruskan.

MENARIK:  Veteran Umno terus 'panaskan' isu pemilikan saham MAHB

Katanya, dia dan keluarga sudah cukup menderita berdepan musibah banjir yang menyebabkan kerosakan harta benda.

“Kawasan rumah saya adalah paling teruk yang terjejas banjir sebelum ini, sudah 38 tahun saya tinggal di sini. Sekarang apabila berlaku banjir saya sudah fobia.

“Banyak harta benda rosak, dokumen-dokumen penting juga musnah, kenderaan penduduk rosak. Bantuan berapa dapat? Nak makan pun tak lepas.

“Tolong jangan buat duit atas penderitaan kami, pemaju dapat duit banyak tapi kami derita. Jangan tambah derita kami lagi, cukuplah,” tegasnya dengan nada lantang ketika hadir membantah projek berkenaan di Kompleks Komuniti Muhibah, Kuala Lumpur, hari ini.

Patut perdalam kolam takungan

Seorang lagi penduduk Ng See Eng, 61, pula berkata pembangunan perumahan kawasan itu sama sekali satu penganiayaan kepada penduduk sekitar dan akan memberi banyak kesan negatif.

Menurutnya sebelum ini Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sebelah kawasan itu turut dilimpahi banjir.

“Kami membantah sebarang pembangunan melibatkan kawasan kolam takungan ini dan tanah-tanah sekitarnya. Kawasan ini sudah padat dengan perumahan dan tidak perlukan perumahan berkepadatan tinggi lagi.

Ng See Eng

“Ia juga akan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas di Kesas dan Jalan Puchong, terutamanya pada waktu kemuncak.

“Adalah lebih baik kerajaan memperuntukkan wang untuk memperdalamkan kolam takungan, bukan dengan cara menjual tanah kepada pemaju. Sebab kolam takungan sudah cetek sehingga kehilangan fungsi untuk menahan air hingga menyebabkan banjir,” katanya.

Menteri beri taklima esok

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Petaling Bahagia Mohd Zaidi Mohd Ali berkata, pembangunan di kawasan itu sudah terlalu padat malah saliran air juga terhad menyebabkan kerap berlaku banjir.

“Sepatutnya kerajaan fikirkan bagaimana nak tingkatkan infrastruktur bagi mengelak kejadian banjir.

Mohd Zaidi Mohd Ali

“Kami berharap kerajaan bantulah kami, takkan kami nak berdepan banjir setiap kali hujan. Kami akan jadi mangsa keadaan (jika projek diteruskan),” katanya.

Dalam perkembangan itu difahamkan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa akan mengadakan taklimat berkait isu berkenaan dijadualkan esok.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular